SEMPADAN negeri akan dibuka serentak di seluruh negara dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya akan dalam dua atau tiga hari ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Malaysia hampir capai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin Covid-19, iaitu kadar ditetapkan kerajaan untuk buka semula sempadan negeri.
Ismail Sabri berkata sebelum ini, kerajaan berhasrat buka sempadan negeri selepas kadar vaksinasi populasi dewasa capai 80 peratus, namun membatalkan hasrat itu kerana masih ada negeri yang mencatat kadar vaksinasi rendah.
Tambahnya, dengan 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin di seluruh negara, menjadikan kebanyakan negeri capai kadar vaksinasi 80 peratus yang membolehkan sempadan negeri dibuka.
Setakat semalam 89.1 peratus populasi dewasa telah lengkap diinokulasi terhadap koronavirus, dengan 196,647 suntikan vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Dari jumlah itu, 108,092 adalah penerima dos pertama manakala 88,555 penerima suntikan kedua.
Sebanyak 45,204,479 dos vaksin telah diberikan di bawah PICK sejak ia dilancarkan pada 24 Februari lepas.
Sementara itu, 68.5 peratus atau sekitar 2 juta remaja, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 4.7 peratus atau 147,938 telah lengkap divaksin.
Laman web CovidNow Kementerian Kesihatan mengunjurkan 80 peratus remaja akan lengkap divaksinasi pada 2 November.
Remaja berusia 12 hingga 17 tahun disuntik dengan vaksin jenama Pfizer dan Sinovac. – 8 Oktober, 2021.
Komen