Idris Haron pertimbang sertai Pakatan


Ragananthini Vethasalam

Idris Haron berkata pemimpin dan wakil PH ada menghubunginya sejak beliau dipecat daripada Umno susulan menarik sokongan kepada ketua menteri Melaka awal minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

PENYANDANG Adun Sungai Udang Idris Haron berkata pemimpin dan wakil Pakatan Harapan (PH) ada menghubunginya sejak beliau dipecat daripada Umno, selepas bekas ketua menteri Melaka itu menarik sokongannya kepada kerajaan negeri Melaka yang dipimpin Barisan Nasional.

“Tunggu sampai saya lintas jambatan,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai PH selepas dipecat Umno.

“Tunggu, pemimpin setiap parti ada jumpa dan hubungi saya, ada juga yang hantar wakil,” katanya ketika dihubungi.

Idris berkata beliau wakil rakyat bebas pada masa ini.

Idris, awal minggu ini bersama tiga lagi Adun menarik balik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali, yang juga daripada Umno.

Tiga Adun lain ialah Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Idris dan Nor Azman daripada Umno, dan keahlian mereka ditarik serta-merta.

Idris dalam kenyataannya awal hari ini memberi gambaran beliau juga sedia menjadi calon ketua menteri PH, jika beliau menyertai pakatan itu.

“Bukan saya yang putuskan untuk jadi ketua menteri, saya akan berceramah kepada rakyat tentang kebenarannya dan mempertahankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika diminta mengulas laporan beliau tawarkan diri untuk jawatan itu.

Idris dikatakan mendapat sokongan Adun PH untuk membentuk kerajaan negeri baharu tetapi Speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusoh kemudian mengumumkan pembubaran Dewan.

Rauf berkata pembubaran itu atas dibuat dengan nasihat Sulaiman kepada Gabenor Melaka Mohd Ali Rustam selepas Sulaiman hilang sokongan majoriti.

Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan. DUN Melaka ada 28 kerusi. Adun PH dan empat Adun yang menyebabkan keruntuhan kerajaan negeri Sulaiman, memegang 15 kerusi. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen