Lebih 5,000 hilang kerja, 37,000 perniagaan ditutup akibat PKP 3.0, kata menteri


PKP kali pertama menyebabkan 8,721 hilang pekerjaan, PKP 2.0 pula menyaksikan 9,098 lagi menganggur, dan 5,880 individu lagi hilang kerja sepanjang PKP 3.0 antara 7 Mei dan 15 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

LEBIH 5,000 individu hilang pekerjaan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau memetik statistic daripada Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS) yang menunjukkan sejumlah 5,880 individu menjadi penganggur antara 7 Mei dan 15 Jun.

Ketika PKP kali pertama dari 18 Mac hingga 3 Mei tahun lalu, seramai 8,721 hilang pekerjaan.

Sebanyak 9,098 lagi hilang pekerjaan ketika PKP 2.0 antara 13 Januari dan 18 Februari, 2021.

Saravanan berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Steven Sim (Bukit Mertajam-PH) berkenaan berapa ramai hilang pekerjaan ketika PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam satu lagi jawapan bertulis oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar, beliau berkata 37,415 perniagaan direkodkan ditutup ketika PKP 3.0.

“Majoriti daripada perniagaan itu atau 26,007 ialah usahawan kecil, diikuti 2,738 peniaga kecil dan sederhana (IKS),” katanya.

Noh berkata kementeriannya menubuhkan pasukan petugas khas untuk membantu usahawan dan langkah bantuan serta merta akan diambil sebagai sebahagian daripada Indeks Pencapaian Utama 100 hari.

Antaranya ialah peruntukan RM7.06 bilion disediakan menerusi 26 inisiatif yang akan memberi manfaat kepada 192,541 peniaga terjejas.

Sebanyak RM40.4 juta diperuntukkan untuk mereka yang hilang pekerjaan, belia dan graduan yang mahu menceburi bidang perniagaan dan RM14.8 juta bagi membantu IKS mikro menaik taraf kepada kaedah digital, katanya.

Noh berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (Sarikei-PH) tentan berapa banyak perniagaan terjejas akibat pandemik dan apa yang kementerian lakukan bagi membantu mereka. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen