
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyediakan data terkini kematian Covid-19 dalam bentuk jadual yang lebih ringkas supaya kenyataan media dapat diterbitkan tepat pada waktunya setiap hari, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata sejak bermulanya gelombang ketiga pandemik Covid-19 dalam negara, kes kematian terus meningkat sehingga pelaporan dalam bentuk jadual bagi perincian setiap kes menjadi terlalu panjang.
Atas sebab itulah KKM menerbitkan data kematian dalam bentuk jadual yang lebih ringkas, katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam, yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.
“Informasi seperti bilangan kes kematian, jantina, kewarganegaraan, jumlah kematian di hopital dan (brought in dead - BID) serta jumlah kes dengan latar belakang penyakit mengikut negeri masih diberikan dalam jadual tersebut.
“Penukaran bentuk jadual yang lebih ringkas ini bagi membolehkan kenyataan media dapat diterbitkan tepat pada waktunya setiap hari,” jelasnya.
Ahli Parlimen Rembau itu juga memaklumkan, setiap kes kematian yang ketika negara mula dilanda pandemik, yang dikongsi melalui kenyataan akhbar ketua pengarah kesihatan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya virus Covid-19 yang boleh membawa maut.
“Semua informasi disampaikan dalam bentuk naratif. Kes kematian yang dilaporkan pada ketika itu adalah satu angka sahaja setiap hari iaitu sekitar satu atau dua kes.”
Malaysia mencatat kes pertama kematian akibat Covid-19 pada 17 Mac 2020.
Kes kematian ketika itu katanya, diperincikan setiap satu termasuk nombor kes kematian, kewarganegaraan, umur, latar belakang penyakit, gejala yang dialami daripada awal sakit sehingga merosot dan seterusnya meninggal dunia, tempat kematian serta tarikh dan jam kematian.
KKM tidak lagi menerbitkan data terperinci sejak 14 Julai lalu.
Khairy dalam pada itu memaklumkan KKM akan mengongsikan data terperinci kes Covid-19 tanpa identiti (nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon) dalam masa terdekat.
“Dengan perkongsian data granular ini, KKM berharap ia akan meningkatkan kebolehlaksanaan analisis semua pihak yang berkepentingan dan dapat menggunakan maklumat ini secara bijaksana bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di negara kita.
Tambahnya, KKM kini telah menyediakan data rasmi mengenai pandemik Covid-19 termasuk data kematian kepada umum melalui GitHub.
Khairy menjawab pertanyaan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH), yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa KKM tidak lagi memberi data kematian termasuk umur dan sejarah kesihatan. – 8 Oktober, 2021.
Komen