HANYA 6.6% daripada 21,884 kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan antara 1 Januari hingga 16 September membabitkan individu yang sudah menerima dua dos vaksin, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Peratusan itu bersamaan 1,438 orang, dengan 89% daripadanya adalah individu yang mempunyai komorbiditi, katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam, yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.
Khairy menjelaskan, mangsa yang mempunyai komorbiditi ini pula, 67.8% menghidap darah tinggi, kencing manis (54.6%) dan penyakit berkaitan kolesterol - dislipidemia (48.0%).
Bagi kematian Covid-19 melibatkan penerima vaksin lengkap juga, 78.2% adalah individu berusia 60 tahun ke atas, tambahnya.
Kematian membabitkan mereka yang belum disuntik vaksin Covid-19 paling ramai, iaitu 15,895 kes atau 72.6%.
Baki 20% atau 4,551 kematian akibat pandemik melibatkan individu yang baru menerima satu dos vaksin Covid-19, kata Khairy.
Beliau yang juga ahli Parlimen menjawab pertanyaan RSN Rayer (Jelutong-PH) mengenai bilangan kematian akibat jangkitan Covid-19 melibatkan individu lengkap vaksinasi. – 8 Oktober, 2021.
Komen