Rentas negeri punca kes Covid-19 Perlis naik, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik Sinar Harian berkata aktiviti rentas negeri secara haram punca lonjakan kes Covid-19 di Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

LONJAKAN angka jangkitan Covid-19 di Perlis berpunca daripada aktiviti rentas negeri secara haram, ketua pengarah kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah dipetik Sinar Harian berkata aktiviti tersebut dipercayai dilakukan warga tempatan dari Kedah.

“Puncanya (peningkatan kes) disebabkan rentas negeri secara haram,” katanya.

Dr Noor Hisham juga dipetik berkata beliau tidak menolak individu tidak bertanggungjawab itu menggunakan jalan tikus bagi mengelak sekatan jalan raya.

Perlis semalam mencatat 200 kes baharu Covid-19, angka tertinggi pernah direkodkan setakat ini. Jumlah keseluruhan kes di negeri itu kini 4,422.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun berkata 194 daripada kes baharu yang dilaporkan semalam adalah kes Kategori 1 dan 2, dan 94 dikesan dari saringan kluster Penyayang Jejawi.

Kluster itu dikenal pasti pada 1 Oktober lalu, membabitkan penghuni dan kakitangan sebuah pusat jagaan warga emas di Kangar.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90% golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.– 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen