Angka kematian Covid-19 lepasi angka 27,000, lapor KKM


Ravin Palanisamy

Sebanyak 827 pesakit Covid-19 di tempatkan dalam unit rawatan rapi dengan 445 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

JUMLAH keseluruhan kematian Covid-19 di Malaysia melepasi angka 27,000 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 132 kematian berkaitan koronavirus malam tadi.

Angka kematian Covid-19 negara ini kini berjumlah 27,113 orang.

Menurut data GitHub kementerian, 26 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital.

Sementara itu, hanya satu kematian berlaku semalam, sementara baki 131 adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan. 

Angka harian adalah jumlah keseluruhan kematian yang berlaku pada hari itu dan laporan kematian, atau kematian yang baharu sahaja disahkan oleh pihak kesihatan selepas selesai siasatan Covid-19.

Oleh itu, jumlah kematian harian mungkin berbeza daripada jumlah kematian sebenarnya yang berlaku hari laporan.

Tiada mangsa yang dijangkiti penyakit ini mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Mengenai pecahan kematian mengikut negeri, Pulau Pinang mengalami lonjakan dan jumlah kematian terbanyak dengan 33 orang, dengan tujuh daripadanya adalah kes kematian di luar hospital.

Ia hanya melaporkan tujuh kematian sehari sebelumnya.

Sarawak berada di kedudukan kedua dengan 19 kematian, lima daripadanya adalah kes kematian di luar hospital.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kematian baharu adalah Johor dan Sabab masing-masing 15, Perak (14), Selangor (13), Terengganu dan Kelantan (masing-masing 6), Pahang (4), Kedah (3), Perlis (2), Melaka dan Kuala Lumpur (masing-masing 1).

Tiada kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, selain tujuh dan lima kes kematian di luar hospital di Pulau Pinang dan Sarawak, ia turut dilaporkan di Sabah (4), Johor, Selangor, Terengganu (masing-masing 2), Kedah, Pahang, Perak, Kuala Lumpur (masing-masing satu).

Menurut laman web kementerian CovidNow, purata kematian negara bagi setiap 100,000 penduduk dalam enam bulan terakhir adalah 7.9. 

Selangor mempunyai kadar tertinggi dengan 13.9 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Kes aktif Covid-19 terus menurun kepada 129,049 selepas Malaysia melaporkan 12,884 pemulihan berbanding 9,890 kes baharu.

Daripada kes ini, 103,717 pesakit - atau 80.4% - menjalani kuarantin di rumah, 16.558 (12.8%) berada di pusat kuarantin berisiko rendah dan 7.947 (6.2%) di hospital.

Bagi mereka yang dimasukkan ke hospital, 827 di tempatkan dalam unit rawatan rapi, 445 di antaranya memerlukan bantuan pernafasan. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen