STATUS vaksinasi individu tidak akan terjejas sama ada seseorang itu menerima atau menolak dos penggalak vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Seseorang akan dianggap divaksin sepenuhnya jika mereka sudah menerima dua suntikan untuk vaksin dua dos atau satu suntikan yang diperlukan dalam vaksin satu dos.
“Dos penggalak atau kekurangan dos penggalak tidak akan menjejaskan status anda sebagai divaksin sepenuhnya
“Ini bukan mandatori atau wajib. Kita akan menawarkan kepada kumpulan tertentu,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Suntikan ketiga dan dos penggalak akan ditawarkan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang mengalami masalah imun, petugas kesihatan barisan hadapan dan warga emas.
“Kita tidak akan memaksa tetapi sangat menyarankan agar kumpulan-kumpulan ini tampil ke depan untuk mendapatkan suntikan penggalak selepas enam bulan dari dos kedua kerana vaksin vaksin didapati mempunyai kesan yang berkurangan,” katanya.
Khairy sebelum ini berkata suntikan ketiga dan dos penggalak akan diberikan mulai bulan ini.
Beliau berkata kerajaan juga akan membenarkan pendekatan campuran untuk suntikan berkenaan.
Dia sebelum ini memberikan perbezaan antara suntikan ketiga dan penggalak bergantung pada tindak balas imun seseorang terhadap vaksinasi.
Khairy berkata pada bulan lalu kementerian sedang membuat garis panduan untuk memberikan suntikan ketiga dan dos penggalak sebelum kerajaan menawarkannya kepada kumpulan sasaran. – 7 Oktober, 2021.
Komen