Harga siling baharu kit ujian kendiri Covid-19 mungkin lebih rendah 


Harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 mungkin lebih rendah di masa akan datang, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi bayangan harga siling kit ujian kendiri Coid-19 akan dikaji semula. 

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membincangkan kemungkinan untuk menurunkan harga kit ujian berkenaan. 

Ketika ia mula diperkenalkan di pasaran, ia dijual pada harga RM39.90. 

Bagaimanapun bermula 5 September, kerajaan menetapkan harga runcit RM19.90 seunit manakala harga borong ditetapkan RM16. 

“Kita mungkin akan umumkan dalam masa terdekat,” kata Khairy pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur hari ini. 

“Ini mungkin memerlukan tempoh peralihan bagi membolehkan peniaga yang sudah mendapatkan bekalan menghabiskan stok mereka kerana apabila kita kurangkan harga sebelum ini mereka menyatakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk habiskan stok sedia ada.

“Kita sudah ada harga yang akan menjadi harga siling baharu…yang adil untuk kedua-dua pembeli dan pembekal,” tambahnya. 

Segelintir pihak termasuk ahli politik dan pakar kesihatan menggesa agar harga kit ujian itu dikurangkan bagi menajdikan ia mampu milik. 

Pakatan Harapan bulan lalu berkata harga kit uijian itu perlu diturunkan daripada harga siling semasa RM19.90 kepada RM15 pada akhir bulan ini, kemudian RM10 pada akhir Oktober dan RM5 menjelang akhir November. – 7 Oktober, 2021.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen