Anak Ahmad Nor sedia teruskan perjuangan ayah demi rakyat


Amin Iskandar

Amran Ahmad anak kepada bekas pemimpin kanan DAP, Ahmad Nor meluahkan hasrat bertanding PRU14 dan meneruskan legasi ayahnya dalam parti yang selalu dianggap anti Melayu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Januari, 2018.

AMRAN Ahmad, anak bekas pemimpin kanan DAP, Ahmad Nor kini bersedia untuk jadi wakil rakyat dan meneruskan legasi ayahnya sebagai pejuang rakyat, sama seperti beberapa pemimpin muda dalam parti itu yang menyambung perjuangan ayah mereka.

Amran, 41, bagaimanapun menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Tetapi saya bersedia untuk dicalonkan untuk meneruskan legasi perjuangan arwah ayahanda saya, saudara Ahmad Nor yang terkenal dengan kecintaan kepada parti dan perjuangan menjadikan Malaysia yang lebih baik,” katanya, dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Bekas wartawan Utusan Malaysia itu mengakui bukan mudah untuk meyakinkan orang Melayu menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tetapi beliau sanggup menggalas tanggungjawab itu demi cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

“Di Malaysia ini, kita nak tukar kerajaan saja, bukan nak tukar agama atau tukar negara secara total. Kita nak tukar regim yang memerintah negara ini.

“Tapi orang Malaysia ini, dia pelik sikit… nak tukar kerajaan ini ibarat dunia nak kiamat. Sedangkan di United Kingdom dan negara maju lain, pertukaran kerajaan itu perkara biasa. Inilah cabaran besar dan kami akan hadapi,” katanya.

Cabaran utama pembangkang adalah membiasakan rakyat Malaysia untuk mengubah kerajaan, perubahan yang sampai kini masih dianggap satu kepelikan, kata Amran. –  Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.

Ayahnya, Ahmad adalah tokoh Melayu dalam sebuah parti yang selalu dituduh dan diberikan gambaran sebagai parti cauvinis Cina. Semasa meninggal dunia pada 2003, Ahmad merupakan naib presiden DAP Kebangsaan dan pengerusi DAP Selangor. 

Ahmad juga aktif dalam kesatuan sekerja dan merupakan orang Melayu pertama memimpin Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dari 1983-1986, dan kemudian jadi timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 1988.

Sepanjang jadi ahli politik, Ahmad beberapa kali bertanding dalam pilihan raya tetapi hanya sekali terpilih sebagai wakil rakyat setelah menang kerusi Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 1990.

Sekiranya DAP mencalonkan Amran sebagai muka baru pada PRU14 ini, beliau akan menyertai anak-anak pemimpin DAP lain yang meneruskan perjuangan ayah mereka, antaranya Gobind, Ramkarpal dan Jagdeep yang menyambung legasi Karpal Singh, serta Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, anak kepada P Patto.

Sebelum menyertai politik, Amran juga mengikut jejak langkah ayahnya jadi pemimpin kesatuan sekerja apabila mengetuai Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) semasa berkhidmat sebagai wartawan di Kumpulan Utusan Melayu Berhad. 

Kewartawanan untuk kebenaran, politik untuk perjuangan

Menceritakan pengalamannya jadi wartawan Utusan Malaysia selama hampir 10 tahun, Amran berkata semasa memohon kerja, editor yang menemuramahnya terkejut dan “tidak faham” mengapa anak kepada bekas pemimpin DAP itu mahu bekerja dengan akhbar milik Umno.

“Saya minat menulis tentang ekonomi, Alhamdulillah selepas temuramah saya diterima bekerja sebagai wartawan,” kata Amran.

“Selepas beberapa tahun di Utusan, saya mula bergiat cergas dalam NUJ di peringkat Utusan Malaysia.

“Kemudiannya saya terpilih menjadi pengerusi NUJ Utusan Malaysia dan dilantik sebagai timbalan setiausaha agung NUJ Malaysia,” katanya.

Jodoh Amran dengan Utusan Malaysia hanya selama sepuluh tahun, akibat pertikaian industri dengan syarikat, beliau akhirnya dibuang kerja pada tahun 2009.

“Selepas dibuang kerja, (Lim) Kit Siang telefon dan kami berjumpa. Saya ditugaskan untuk menguruskan akhbar DAP, Roket.

“Tidak berapa lama selepas itu saya dilantik sebagai pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng),” katanya.

Amran memulakan kerjayanya di Utusan Malaysia sebagai wartawan, kemudian berkhidmat di lidah rasmi DAP, Roket dan Malaysiakini selain pegawai khas kepada Lim Guan Eng. Sekiranya bertanding PRU14, beliau akan mengikut jejak ramai anak pemimpin DAP yang lain meneruskan legasi politik keluarga mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Januari, 2018.

Pada 2015, Amran menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) ke United Kingdom. Selepas tamat pengajian pada 2016, beliau berkhidmat di portal Malaysiakini sebagai pembantu pengarang.

Tahun lalu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua membawa Amran kembali bekerja dengan parti itu di Ibu Pejabat untuk mengendalikan dan menjadi hos kepada rancangan atas talian Ubah TV.

“Selain itu saya juga menolong untuk menyediakan bahan-bahan publisiti terutamanya dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Menceritakan mengenai ayahnya, Amran berkata, walaupun Ahmad tidak mempengaruhinya secara langsung untuk menyertai mana-mana parti politik, nilai perjuangan dibawa tokoh DAP itu akan terus dijadikan pegangannya.

“Saya terkesan dengan perjuangan beliau untuk menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang lebih baik, menerusi semak dan imbang.

“Sekiranya menjadi kerajaan, perlulah adil dan berintegriti serta menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah,” katanya.

Mengakhiri temubual itu, Amran berkata, pengalamannya dalam dunia kewartawanan banyak membantunya apabila bergiat dalam politik.

“Dalam bidang kewartawanan, kita belajar untuk mencari kebenaran. Dan dalam politik, kebenaran itu kita angkat sebagai perjuangan,” katanya. – 26 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen