KKM guna ubat antiviral Molnupiravir rawat Covid-19 


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ubat antiviral Molnupiravir berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menggunakan ubat antiviral Molnupiravir bagi merawat pesakit Covid-19 kerana keberkesanannya terhadap varian dan mengurangkan jumlah pesakit di hospital, kata Khairy Jamaluddin. 

Menurutnya Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus. 

“Ia juga berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu,” kata menteri kesihatan dalam satu kenyataan hari ini. 

“Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia  hari ini menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme

“Melalui perjanjian ini, Kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap (patient courses) untuk merawat pesakit Covid-19.”

Khairy berkata keputusan ini dibuat sebagai persediaan untuk memulakan peralihan ke fasa endemik Covid-19. 

“Ia sebahagian daripada rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain.”

Kahairy bagaimanapun berkata vaksinasi masih lagi penting dan penggunaan Molnupiravir tidak bermakna ia tidak lagi diperlukan. 

“Fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti.

“Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19.” – 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen