PROSES untuk mengecualikan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah sedang dilakukan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pejabat Peguam Negara bersetuju memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang.
“Saya difahamkan KDN dan Pejabat Peguam Negara bersetuju memansuhkan Seksyen 309 yang menjadikan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan,” kata ahli Parlimen Kanowit itu pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata cadangan untuk meminda undang-undang itu akan dibawa ke Kabinet.
Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Kemaman-PN) berkenaan status perkembangan cadangan mengecualikan bunuh diri sebagai jenayah dan bagaimana ia akan dapat membantu mengurangkan kes bunuh diri.
Aaron berkata dilaporkan berlaku lonjakan 143% kes bunuh diri antara 2020 dan 2021.
Beliau berkata kerajaan menyediakan panggilan bantuan untuk memberikan kaunseling kepada mereka yang menghidapi masalah kesihatan mental. Kes serius akan dirawat di hospital atau pusat pemulihan.
Bekas kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bercadang mengecualikan cubaan bunuh diri sebagai perbuatan jenayah. Kementerian Kesihatan turut berjanji berusaha melakukannya sebagai sebahagian kempen pencegahan bunuh diri. – 7 Oktober, 2021.
Komen