
SEBANYAK 79 projek perumahan swasta membabitkan 11,824 pembeli terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.
Kesemua projek terbengkalai berkenaan merangkumi 17,724 unit rumah, tambah ahli Parlimen Kepala Batas itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, Selangor paling banyak projek perumahan terbengkalai iaitu sebanyak 33 yang merangkumi 10,974 unit rumah , diikuti Kelantan (12), Johor (9), Pahang (6) dan Terengganu (6).
Reezal berkata daripada 65 daripada 79 projek yang terbengkalai di Semenanjung adalah disebabkan oleh masalah kewangan pemaju.
Empat projek terbengkalai ekoran tidak memenuhi syarat pembangunan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri, manakala selebihnya antara lain kerana pemaju asal tidak dapat dikesan, bantahan oleh penduduk sekitar dan masalah setinggan menyebabkan pemajuan tidak dapat diteruskan.
“Sejak 2009 hingga September lalu, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah berjaya menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai sebanyak 215 projek merangkumi 59,090 unit rumah membabitkan 39,247 pembeli,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan diajukan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) yang bertanya mengenai jumlah keseluruhan projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri sehingga 2021, dan punca sebenar ia berlaku serta tindakan kementerian untuk menanganinya. – 7 Oktober, 2021.
Komen