AGENSI antirasuah memberi jaminan akan menyiasat kes penipuan dan pembolotan projek melibatkan royalti pasir yang timbul sewaktu kemelut politik Melaka semakin genting.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebut, ia akan menghantar pegawai bagi menemui bekas ketua menteri Idris Haron yang membangkitkan dakwaan itu.
“SPRM memandang serius dakwaan Adun Sungai Udang Idris Haron berhubung isu pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.
“Mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM.
“Ingin ditegaskan bahawa kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.”
Kes penipuan, pembolotan projek dan royalti mineral itu dibangkitkan Idris yang menuduh ia dilakukan pemimpin Umno tertentu.
Perkara itu menyebabkan beliau terpaksa menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka bagi mengelakkan Umno ditolak dalam pilihan raya umum akan datang, dakwanya.
Dakwanya, ribuan meter padu pasir yang dibawa masuk ke Melaka untuk projek tambakan laut itu diisytihar dengan jumlah lebih rendah dan merupakan penipuan kepada kerajaan persekutuan.
Idris yang juga exco pembangunan itu dinamakan sebagai antara lima orang Adun yang bakal menarik sokongan ke atas kerajaan ditunjangi Umno.
Peralihan sokongan itu menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang dan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Tiga lagi yang menarik sokongan terdiri daripaa Sulaiman Md Ali (Lendu), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Dengan itu, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN. – 7 Oktober, 2021.
Komen