Sweden henti beri vaksin Moderna kepada golongan muda


Sweden tidak akan suntik golongan mudanya dengan vaksin Covid-19 jenama Moderna buat sementara waktu kerana bimbang kesan sampingan terhadap jantung. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2021.

AGENSI Kesihatan Awam Sweden akan menghentikan sementara penggunaan vaksin Covid-19 Moderna kepada golongan muda yang lahir pada 1991 dan ke atas. 

Keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai kesan sampingan terhadap jantung.

Ia berkata pemberhentian itu akan berkuatkuasa hingga 1 Disember, menjelaskan ia ada bukti peningkatan risiko kesan sampingan seperti keradangan otot jantung (miokarditis) dan keradangan perikardium (perikarditis).

“Agensi Kesihatan Awam telah memutuskan untuk hentikan sementara penggunaan vaksin Moderna Spikevax, untuk semua orang yang lahir pada tahun 1991 dan ke atas,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, menambah golongan tersebut sebaliknya akan menerima vaksin jenama Pfizer-BioNTech.

Menurut agensi itu, risiko itu kelihatan terutamanya selepas mendapat suntikan kedua vaksin Moderna dan lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dewasa dan lelaki muda, selepas beberapa hari disuntik.

Gejala-gejala itu biasanya berlalu dengan sendirinya, tetapi perlu dinilai oleh doktor, tambahnya.

“Mereka yang diberi vaksin baru-baru ini, dengan dos vaksin Moderna pertama atau kedua mereka, tidak perlu bimbang kerana risikonya sangat kecil, tetapi ada baiknya tahu tentang gejala apa yang harus anda perhatikan,” kata ahli epidemiologi negara Anders Tegnell dalam satu kenyataan.

Kira-kira 81,000 orang dalam kumpulan umur itu telah menerima tusukan pertama di Sweden, tetapi mereka tidak akan mendapat suntikan kedua, kata agensi itu, menambah “perbincangan sedang berlangsung mengenai penyelesaian terbaik untuk kumpulan ini.”

Agensi Ubat Eropah (EMA) membenarkan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 jenama Moderna vaksin untuk remaja pada Julai. – AFP, 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen