JOHOR akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat, kata Hishammuddin Hussein.
Menteri kanan (pertahanan) itu berkata, Pahang juga akan beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 pada hari yang sama.
“Peralihan ini berdasarkan petunjuk ditetapkan untuk PPN dan penilaian risiko yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) sama dengan negeri lain yang sudah beralih ke dua fasa.
Hishammuddin berkata jawatankuasa khas pengurusan pandemik Covid-19 juga memutuskan untuk membenarkan upacara mengikat thali bagi perkahwinan Hindu di kuil dan Kristian di gereja bermula Sabtu.
Lelongan awam untuk barangan yang didaftarkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga akan dibenarkan disambung, dengan syarat pekerja sudah mendapat vaksinasi lengkap.
Namun, ia hanya terbatas pada 54 pelelong yang dikenal pasti oleh kerajaan. Lelongan hanya boleh diadakan pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan dan jumlah pekerja yang terlibat mestilah sesuai dengan kapasiti yang dibenarkan di bawah fasa PPN.
Industri tembakau dan rantaian bekalannya juga dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 2 dan seterusnya.
Begitu juga, pasar borong di negeri Fasa 2 dan 3 juga dibenarkan beroperasi mengikut waktu ditetapkan dalam lesen mereka. – 6 Oktober, 2021.
Komen