851 pesakit Covid-19 di ICU, kata Noor Hisham


Sebanyak 447 pesakit Covid-19 memerlukan bantuan pernafasan setakat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

MALAYSIA mencatatkan 13,045 pemulihan Covid-19 berbanding 9,380 jangkitan setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Seramai 2,144,681 orang kini pulih daripada Covid-19.

Sementara itu, Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 851 pesakit di unit rawatan rapi (ICU), dengan 51 daripadanya disyaki dan kes dalam siasatan.

Daripada jumlah 851, sebanyak 447 memerlukan bantuan pernafasan dan 348 orang disahkan kes Covid-19, sementara 99 kes disyaki dan dalam siasatan.

Noor Hisham berkata daripada jumlah jangkitan hari ini, 9,199 kes adalah di Kategori 1 (tanpa gejala), atau Kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 181 kes adalah dalam Kategori 3, 4, atau 5, dengan kesan jangkitan lebih serius.

Beliau berkata sebanyak 11 kluster baharu juga dikesan oleh pihak berkuasa kesihatan, dengan lima melibatkan tempat kerja, lima dalam komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Angka baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif di seluruh negara menjadi 932. Negara mencatat 5,547 kluster sejak wabak bermula. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen