Jangan libat rakyat Melaka dalam krisis Umno, kata Mukhriz


Alfian Z.M. Tahir

Mukhriz Mahathir berkata Umno dan PN patut sedar kesan Covid-19 selepas PRN Sabah tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

UMNO tidak sepatutnya mengheret rakyat Melaka berdepan pilihan raya negeri (PRN) akibat pertikaiannya, kata Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

Dalam satu kenyataan, bekas menteri besar Kedah itu berkata Umno dan Perikatan Nasional (PN) harus menyedari kesan Covid-19 selepas PRN Sabah tahun lalu.

“Pejuang sama sekali menolak tindakan Umno untuk mengadakan PRN di Melaka susulan penarikan sokongan oleh empat Adun dari Umno dan Bersatu.

“Pertelingkahan dalaman Umno tidak sepatutnya mengheret seluruh rakyat Melaka ke dalam kancah politik melalui pilihan raya yang tidak perlu ketika Melaka baru naik ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. 

“Pada hari ini sahaja terdapat 9,380 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara. Dari jumlah itu, 200 kes adalah di Melaka,” kata Mukhriz.

Gabenor Melaka Mohd Ali Rustam semalam membubarkan DUN, berikutan permintaan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

PRN perlu diadakan dalam 60 hari akan datang. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Selepas beberapa hari spekulasi, empat Adun mengumumkan pada Isnin mereka hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan menarik sokongan kepadanya.

Keempat-empat Adun berkenaan adalah bekas ketua menteri Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Mukhriz kemudian menggesa pemimpin dalam Umno dan PN mengetepikan cita-cita politik mereka dan mengutamakan keselamatan orang ramai.

“Adakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?

“Pemimpin Umno dan PN di peringkat pusat dan negeri dituntut untuk ketepikan kepentingan peribadi dan parti, hentikan politik toksik, dan sebaiknya meletakkan kepentingan rakyat terkehadapan.”

“Sebaiknya keputusan untuk membubar DUN Melaka dan mengadakan PRN ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat,” tegasnya. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen