SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki warga Myanmar, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan warga asing yang memberi sogokan ke atas penjawat awam di Perak pada Mei tahun ini.
Dua individu yang dikesan itu dikenali sebagai Noor Bashar Hairul dan Abu Talab Nur Muhammad yang masing-masing berusia 26 dan 25 tahun.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan kes rasuah itu melibatkan warga Myanmar memberi rasuah berjumlah RM50 kepada anggota polis untuk tidak diambil tindakan ke atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motorsikal yang sah.
Menurut SPRM lagi, Noor Bashar merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bernombor 354-13C00811 dan kad UNCHR Abu Talab pula bernombor 354-5C07305.
“(Kedua-dua individu berkenaan) mempunyai alamat terakhir di No 51, Persiaran Murni 4, Taman Indah, 31150 Ulu Kinta, Perak,” menurut kenyataan itu.
SPRM meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Gray Lee Yadon di talian 019-8408395 atau 05-5267000 atau emel kepada [email protected]. – Bernama, 6 Oktober, 2021.
Komen