
ORANG bukan Islam bebas menyebarkan agama masing-masing dan tidak akan terikat dengan cadangan RUU syariah bagi menyekat kebebasan beragama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad kepada Dewan Rakyat.
RUU yang dimaksudkan adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU 355 dan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, iaitu bagi mengawal penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
“Kedua-dua RUU ini tidak melibatkan orang bukan Islam. Ini hanya melibatkan orang Islam,” katanya kepada Dewan Rakyat pada Waktu Pertanyaan sebagai jawapan atas soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) tentang keprihatinan orang bukan Islam terhadap usul RUU berkenaan.
Sementara itu, Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH) mempertikaikan kewajaran undang-undang berkenaan dilaksanakan sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan selain bebas beragama secara aman.
Idris menambah RUU itu hanya ditujukan untuk orang Islam.
“Rang undang-undang ini bukan tujuan menyekat kebebasan beragama dalam kalangan orang bukan Islam.
“Mereka bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam,” katanya.
RUU itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli politik dan kumpulan agama kerana mereka khuatir undang-undang itu boleh menyekat orang bukan Islam menyebarkan kepercayaan mereka. – 6 Oktober, 2021.
Komen