PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar semua penjawat awam yang belum mengamboil vaksin Covid-19 agar berbuat demikian untuk kebaikan mereka dan semua pihak.
Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata malangnya walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan vaksinasi, difahamkan masih ramai lagi penjawat awam yang belum mengambil vaksin.
“Ramai ibu bapa turut meluahkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula, justeru guru yang belum divaksin perlu mengambil tanggungjawab dalam memastikan diri mereka divaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Koh turut memberi jaminan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan keberkesanan vaksin, selamat dan kesan sampingannya juga tidak teruk.
“Kajian mengenai vaksin Covid-19 telah diteliti secara bebas dan menyeluruh untuk keselamatan dan keberkesanannya bukan hanya oleh organisasi kesihatan terkemuka tetapi oleh badan diiktiraf setiap negara sebelum ia penggunaannya diluluskan,” katanya.
Koh juga berkata walaupun individu yang telah menerima vaksin penuh masih boleh dijangkiti, gejalanya adalah ringan dan dalam kebanyakan kes tidak perlu dirawat di hospital.
“Tidak dinafikan yang virus ini boleh bermutasi dan kita akan menyaksikan varian baharu di masa akan datang, apa yang penting adalah kita gunakan semua peluang yang ada untuk lindungi diri kita dan satu sama lain daripada Covid-19,” katanya.
Koh turut memberi contoh vaksinasi tifoid yang diwajibkan kepada semua pengendali makanan di negara ini, dan menambah tanpa suntikan vaksin itu, pengusaha restoran tidak akan diberikan lesen untuk beroperasi.
“Rakyat Malaysia terkenal dengan tabiat makan di luar hampir setiap hari, namun ramai yan tidak menyedari bahawa vaksinasi tifoid melindungi penduduk di negara ini sejak sekian lama daripada wabak yang boleh membawa maut,” katanya.
Tambahnya kelebihan mendapatkan vaksin kini boleh dilihat melalui trend menurun kes jangkitan Covid-19 dan pembukaan lebih banyak sektor.
“Bukti ada di deapan mata. Tidak lama lagi rakyat Malaysia boleh merentas negeri dan melakukan perjalanan antarabangsa,” katanya.
Statistik vaksinasi terkini menunjukkan 20.82 juta atau 63.8% rakyat Malaysia divaksin sepenuhnya,
Ini bermakna 88.4% populasi dewasa telah menerima vaksinasi oenuh dan 94.5% menerima satu dos. Turut dilaporkan 73.8% daripada penduduk menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.– 6 Oktober, 2021.
Komen