117 kes maut Covid-19, 16 kematian di rumah


Aminah Farid

Sebanyak 117 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah kumulatif daripada epidemik itu kepada 26,759 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 117 kes kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam tadi, naik sedikit berbanding 78 kes sehari sebelumnya.

Menurut data GitHub, 16 kes adalah kematian di rumah (DOA). Jumlah kumulatif kematian akibat virus itu kini 26,876 kes.

Sementara itu, hanya tiga kematian dilaporkan semalam. Baki 114 ialah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Angka kematian harian adalah jumlah keseluruhan kematian yang berlaku pada hari berkenaan ditambah dengan laporan kematian tertunggak, atau kematian yang baru saja disahkan pihak berkuasa selepas siasatan Covid-19 selesai.

Oleh itu, jumlah kematian harian mungkin berbeza daripada jumlah kematian sebenar yang berlaku pada hari laporan dibuat.

Data itu juga menunjukkan dua daripada 117 mangsa – masing-masing di Pahang dan Perak – ada sejarah menerima vaksin, di mana kedua-duanya menerima satu suntikan.

Daripada jumlah kematian, Sarawak melaporkan jumlah tertinggi 21 kes, di mana tiga kes DOA.

Sementara itu, Johor melaporkan jumlah kematian kedua tertinggi dengan 19 kes, satu DOA.

Negeri lain melaporkan kematian ialah Selangor dan Perak (14), Sabah dan Kelantan (11), Kedah (8), Terengganu (5), Kuala Lumpur dan Pahang (4), Melaka (2) dan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (1).

Menurut data di laman web CovidNow, kes Covid-19 di negara pada masa ini 142,869.

Sebanyak 116,748 atau 81.7% pesakit dikenakan kuarantin kendiri di rumah, 16,862 (11.8%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 8,383 (5.9%) di hospital.

Daripada jumlah pesakit dimasukkan di hospital, 851 berada di unit rawatan rapi dengan 395 memerlukan alat bantuan sokongan. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen