Pengawal pantai AS siasat kemungkinan sauh kapal punca tumpahan minyak


Kawasan pesisir pantai sepanjang 24 kilometer ditutup kepada orang awam dan aktiviti menangkap ikan juga dihentikan sementara untuk kerja pembersihan.– Gambar EPA, 6 Oktober, 2021.

PENGAWAL pantai Amerika Syarikat (AS) menyiasat kemungkinan sauh kapal yang menjadi punca paip saluran minyak pecah di perairan California, lapor media.

Menurut pasukan penyelamat kira-kira 131,000 gelen minyak mencemari perairan yang menjadi habitat kepada hidupan seperti anjing laut, ikan lumba-lumba dan ikan paus selepas saluran paip berkenaan pecah hujung minggu lalu.

Kawasan pesisir pantai sepanjang 24 kilometer ditutup kepada orang awam dan aktiviti menangkap ikan juga dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada usaha pembersihan tumpahan yang disifatkan sebagai terbesar dalam beberapa dekad.

Los Angeles Times melaporkan Pengawal Pantai kini menyiasat sama ada kapal komersial melabuhkan sauh di kawasan yang salah, menyebabkan saluran paip itu rosak.

Ketua pegawai eksekutif syarikat Amplify Energy Martyn Willsher berkata pemantauan dasar laut mendedahkan kira-kira 4,000 kaki saluran paip tidak berada di tempat yang sepatutnya.

“Saluran paip berkenaan dilihat seolah-olah ditarik hingga membentuk seperti busur,” katanya pada satu sidang media.

“Ia beralih sehingga 105 kaki daripada tempat yang sepatutnya.”

Willsher bagaimanapun enggan membuat spekulasi sama ada masalah itu berpunca daripada sauh kapal, namun beliau berkata “ia adalah paip keluli setebal 16 inci dan diliputi konkrit setebal seinci.”

“Untuk ia beralih sehingga 105 kaki bukanlah satui perkara biasa.”

Los Angeles dan Long Beach merupakan antara pelabuhan kontena paling sibuk di dunia.

Pandemik menyebabkan puluhan kapal kontena terpaksa berlabuh di perairan itu.

Kapal berkenaan diberikan tempat untuk melabuhkan sauh, biasanya jauh daripada halangan dalam air seperti saluran paip.

Namun menurut laporan Los Angeles Times yang memetik sumber terlibat dalam siasatan tumpahan minyak itu, kedudukan sauh yang salah mungkin menyebabkan ia mengheret saluran paip di dasar laut. – AFP, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen