Tahap telus CovidNow belum pernah terjadi dalam kerajaan


Raevathi Supramaniam

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr A. Maheshwara Rao Appannan berkata tahap ketelusan CovidNow belum pernah terjadi sebelum ini dalam kerajaan. – Gambar tangkap layar laman CovidNow KKM, 5 Oktober, 2021.

PENGGUNAAN laman web GitHub dan CovidNow bagi menyampaikan kemas kini berkaitan Covid-19 merupakan tahap ketelusan baharu bagi Kementerian Kesihatan (KKM), kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr A. Maheshwara Rao Appannan.

Kedua-dua platform tersebut dapat diakses secara bebas oleh orang ramai dengan semua data kementerian dipaparkan.

“Cabaran terbesar dengan GitHub atau CovidNow adalah ia melangkaui norma biasa kementerian dalam hal ketelusan data,” katanya dalam sesi Zoom dengan media hari ini.

“Tetapi kami ada pendukung dari tingkat atas KKM, dari ketua pengarah, timbalan ketua pengarah dan menteri. Ini cabaran terbesar kami (tidak dapat persetujuan mereka) tetapi disinilah kami sekarang.”

Pada 11 September, KKM melancarkan CovidNow, laman web bertujuan menyampaikan maklumat lebih terperinci mengenai trend dan angka Covid-19 Malaysia, selain bertujuan meningkatkan ketelusan dalam perkongsian data.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan laman web itu sebagai usaha untuk “membuka kerahsiaan statistik”.

Kementerian itu pernah dikritik sebelum ini kerana tidak memberikan data terperinci Covid-19, terutamanya oleh kerajaan Selangor yang menjalankan beberapa inisiatif sendiri bagi memerangi pandemik.

Khairy juga berkata langkah itu sejajar dengan hasrat KKM agar data dan maklumat mengenai Covid-19 dapat diakses oleh semua orang.

Laman web ini dibina secara pro bono oleh empat pemuda Malaysia, pembangun laman web Henry Lim, Calum Lim, Lim Sheng Han dan Roshen Maghan. Keempat-empat mereka juga berada dalam sesi Zoom dengan media hari ini.

“Dengan semangat kolaborasi dan pendekatan kerajaan dan seluruh masyarakat, kami bertanya kepada mereka berempat adakah mereka ingin turut serta,” kata Maheswara.

Sheng Han, seorang saintis data, berkata beliau telah mencari cara untuk menyumbangkan kemahirannya untuk melawan pandemik. Pada Julai tahun ini, kerajaan menyediakan set data Covid-19 di GitHub, platform sumber terbuka.

“Komuniti data terbuka sangat terkesan dengan penggunaan GitHub kerana ini adalah tanda ketelusan. Setiap titik data dimuat di sana dan sebarang perubahan dapat dikesan.

“Dari sudut pandangan kami, ini adalah langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini oleh KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan,” katanya. – 5 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen