Endemik Covid-19 perlu diurus lebih baik untuk kurangkan impak, kata pakar


Ravin Palanisamy

Malaysia mungkin masih merekodkan ribuan kes harian Covid-19 dalam fasa endemik walaupun selepas kadar vaksinasi yang tinggi dan meluas kata bekas timbalan ketua pengarah kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

MALAYSIA mungkin terus melaporkan ribuan kes harian Covid-19 dalam fasa endemik walaupun selepas kadar vaksinasi yang tinggi dan meluas, kata bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata kanak-kanak yang tidak divaksin serta kemunculan dan varian sedia ada virus itu mungkin jadi faktor penyumbang kepada jangkitan baharu pada masa depan.

“Kes mungkin masih tinggi jika ada sejumlah dewasa dan kanak-kanak tidak divaksin, yang terdedah kepada virus.

“Keduanya, varian Deltan dan baharu mungkin menyebabkan jangkitan dalam kalangan mereka yang tidak vaksin. Kita melihat keadaan ini berlaku di United Kingdom dan Israel,” katanya yang kini pensyarah di universiti perubatan, kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, jumlah kes jangkitan harian yang tinggi dilaporkan, tidak sepatutnya jadi satu-satunya pengukur terhadap tahap Covid-19 di negara ini, katanya.

Terdapat indikator lain yang perlu diberi perhatian apabila negara ini beralih ke peringkat endemik. Ini bermakna koronavirus akan terus ada tetapi boleh dikendalikan dengan lebih baik, jadi kesannya terhadap populasi tidak terus dan menjadi penyakit “biasa” seperti selesema.

“Apa yang lebih penting ialah kapasiti sistem penjagaan kesihatan untuk mengendalikan angka itu. Kes dilaporkan mungkin lima digit tetapi jika majoriti adalah kes sederhana yang tidak memerlukan dirawat di wad, adakah ia akan jadi satu masalah?,” soalnya.

Dr Lokman berkata kerajaan perlu memastikan semua peringkat sistem kesihatan – pencegahan dan kawalan, penjagaan awal dan pertengahan atau penggunaan unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap optimum untuk bertindak kepada sebarang kemunculan baharu kes Covid-19 yang teruk.

Beliau menyenaraikan enam indikator yang dianggap lebih berguna berbanding jumlah kes harian yang dilaporkan.

1. Tempoh penyakit didiagnosis (kurang 48 jam);

2. Diagnostik kepada masa (kurang 24 jam);

3. Peratusan pendaftaran kes tertunggak (kurang 10%);

4. Peratusan kontak rapat yang dikesa (lebih 90%);

5. Peratusan kes kematian di luar hospital (0%) kes

6. Kadar pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital (Pertubuhan Kesihatan Dunia meletakkan kadar disyorkan kurang 10 bagi setiap 100,000 populasi untuk menunjukkan jangkitan dalam komuniti yang sederhana ).

Selepas hampir tiga bulan merekodkan angka lima digit bagi kes jangkitan baharu Covid-19 setiap hari, Malaysia melaporkan 9,066 kes baharu semalam (3 Oktober).

Kali terakhir negara mencatatkan kes pada paras itu ialah 12 Julai dengan 8,574 kes.

Bersama dengan kadar vaksinasi yang bertambah baik, sejumlah kes baharu dilaporkan kini dalam kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau bergejala sederhana.

Kadar vaksinasi negara untuk populasi dewasa pada masa ini ialah 87%. Bagi jumlah keseluruhan populasi, kadar vaksinasi sekitar 63%.

Menjelaskan tentang endemik, Dr Lokman berkata ia khusus secara geografik, dan ada negeri yang mungkin sudah mencapai peringkat endemik, sementara yang lain belum lain.

Keadaan endemik ialah di mana paras imuniti dalam populasi cukup tinggi sama ada menerusi vaksinasi atau jangkitan secara semula jadi menjadi terhad kepada mereka yang terdedah kepada virus saja.

“Contohnya, Labuan sudah mencapai kadar liputan vaksinasi yang tinggi dalam kalangan dewasa yang melindungi mereka.

“Di Labuan juga, sebelum vaksinasi pernah berlaku di mana ramai kanak-kanak terdedah kepada jangkitan dalam gelombang sebelum ini dan sekarang memperoleh tahap imuniti daripada jangkitan semula jadi.

“Jadi walaupun vaksinasi dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak baru bermula, pada saya ia lebih kepada penggalak kerana ramai daripada mereka mungkin sudah membangunkan imuniti dalam tubuh daripada jangkitan. Jadi, di Labuan mereka mungkin sudah mencapai tahap endemik.

“Tetapi di Sarawak, kes masih tinggi walaupun kadar vaksinasi tinggi. Tidak seperti Labuan, Sarawak sangat besar jadi saya syak, jangkitan yang pada awalnya banyak berlaku di kawasan bandar, kini merebak ke kawasan lain di mana masih ramai individu terdedah kepada virus.

“Dan kerana masalah logistik, kepantasan liputan vaksinasi di Sarawak tidak secepat di Labuan, dan oleh itu, jangkitan berlaku pantas, mengatasi tahap vaksinasi,” katanya.

Adakah kes jangkitan harian akan turun?

Berkenaan sama ada jumlah kes harian akan turun tidak lama lagi, Dr Lomkan berkata ia akan bergantung kepada jumlah populasi, kelajuan dan liputan vaksinasi, jenis vaksin digunakan dan saiz populasi yang terdedah kepada virus. – 6 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen