Tiada protes lagi, kami sedang perhati Putrajaya, kata aktivis


Aminah Farid

Aktivis mengadakan himpunan di Dataran Merdeka bagi memperingati mangsa Covid-19 pada 19 Ogos lalu. Sekretariat Solidariti Rakyat berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengadakan lebih banyak tunjuk perasaan jika Putrajaya gagal membuat penambahbaikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2021.

TIDAK teruja dengan kerajaan baharu setakat ini, aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) sedang mengawasi pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memperbaiki pemerintahan dan mengukuhkan proses demokrasi, kata anggota SSR Ashraf Sharafi.

Katanya, gabungan 40 aktivis belia dari pelbagai kumpulan masyarakat sivil tidak akan teragak-agak untuk mengadakan lebih banyak tunjuk perasaan jika Putrajaya gagal membuat penambahbaikan itu.

Buat masa ini, mereka sedang menunggu dan melihat, kata Ashraf.

Walaupun kerajaan telah mula melaksanakan Undi18 atau penurunan usia mengundi dari 21 menjadi 18 tahun, Ashraf berkata ada perkara lain yang diperhatikan oleh aktivis belia.

“Kami masih tunggu dan lihat apa (bentuk) reformasi lain yang dijanjikan akan dibuat, terutama mengenai bagaimana undang-undang digunakan terhadap orang muda atau orang yang kritik kerajaan,” katanya.

“Artis satira politik seperti Fahmi Reza masih dipanggil untuk disoal hanya kerana melukis kartun satira (ahli politik).

“Adalah lebih baik kerajaan, terutamanya menteri dalam negeri menumpukan perhatian pada perkara lain bagi menjaga keselamatan rakyat daripada mengganggu orang yang keritik kerajaan,” tambah Ashraf.

Langkah untuk melaksanakan Undi18 telah dimulakan sekali dengan dengan pendaftaran pengundi automatik. Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata pengundi 18 tahun dan calon baharu boleh mengesahkan maklumat peribadi mereka untuk daftar sebagai pengundi sehingga 31 Oktober.

Selain reformasi yang dijanjikan, beliau berkata tidak ada yang baharu mengenai kabinet Ismail Sabri yang sama besar saiznya dengan kabinet Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Macam mana nak buat perubahan kalau masih orang yang sama?”

Tambah Ashraf, walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai transformasi dan kestabilan politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan adalah langkah yang baik, namun masih terlalu awal untuk mengulasnya.

“Walaupun kredit boleh diberikan kerana ada tekad politik untuk tandatangani MoU, (kerajaan) masih amalkan cara lama dengan beri jawatan kepada ahli Parlimen dan ahli politik dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan).”

Beliau memberi sebagai contoh pelantikan politik ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob dari Umno, yang dilantik oleh Ismail Sabri sebagai pengerusi Felcra Bhd baru-baru ini.

“Ini semua untuk kepentingan politik. Ini (perlu diubah) sehingga politik menjadi ruang perkhidmatan dan patriotisme untuk memimpin negara, bukan ruang untuk beri makan kepada kroni.”

SSR menarik perhatian ketika pandemik Covid-19 tahun ini dengan kempen bendera hitam di media sosial pada awal Julai bagi memprotes cara Muhyiddin menangani Covid-19.

Ia berjaya menggunakan media sosial dengan tanda pagar #Lawan, untuk memberi kesedaran dan menggerakkan beberapa protes aman yang lain untuk menuntut Muhyiddin letak jawatan, gesa Parlimen bersidang secara penuh, dan tamatkan darurat.

Bendera hitam dan tunjuk perasaan #Lawan berikutnya adalah dalam bentuk konvoi kenderaan pada 24 Julai dan beberapa demonstrasi di Dataran Merdeka yang menyaksikan patung-patung diselimuti kain kapan sebagai simbolik kepada kes kematian Covid-19 yang meningkat ketika itu.

Perhimpunan terbesar SSR setakat ini adalah pada 31 Julai, yang menarik lebih seribu orang, kebanyakannya orang muda, ke jalan-jalan di sekitar Dataran Merdeka.

Beberapa anggota SSR ditangkap dan disoal siasat oleh polis kerana melanggar perintah kawalan pergerakan Covid-19. Orang ramai berang kerana pihak berkuasa menyasarkan orang muda apabila aktivis berusia 20 tahun Sarah Irdina menceritakan pengalamannya dalam lokap polis.

31 aktivis SSR turut dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang dalam salah satu tunjuk perasaan aman memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka pada 19 Ogos. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen