TYT Melaka belum terima surat parti politik, kata setiausaha khas


Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 September lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19, kata setiausaha khasnya. – Gambar ihsan Istana Melaka, 4 Oktober, 2021.

ISTANA Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.

Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka Nur Azmi Ahmad berkata buat masa ini, Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 September lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

“Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Tun Mohd Ali,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

Hari ini empat Adun kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Bernama, 4 Oktober, 2021. seti


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen