Hotel terkemuka Langkawi tutup sementara, 59 pekerja positif Covid-19


Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo dipetik The Star berkata pekerja terbabit mendapat jangkitan yang disebarkan dari komuniti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

SEBUAH hotel terkenal di Langkawi diarah tutup sementara selepas 59 pekerja disahkan positif Covid-19, lapor The Star.

Laporan memetik Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo menyebut siasatan mendapati pekerja terbabit mendapat jangkitan yang disebarkan dari komuniti.

Dr Othman berkata kes dikesan hasil saringan ke atas 249 individu melibatkan kakitangan hotel dan ahli keluarga, dan kesemua 59 pekerja itu dikelaskan sebagai kluster Dah Teluk Nibung.

“Tiga individu masih menunggu keputusan ujian,” katanya dipetik The Star, menambah semua kontak rapat telah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 10 hari.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan Kedah mencatat 628 kes baharu Covid-19.

Langkawi dibuka semula pada 16 September lalu di bawah inisiatif gelembung pelancongan hanya kepada pelancong tempatan yang lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Pada 30 September, kes pertama Covid-19 dikesan melibatkan pelancong di pulau peranginan itu, iaitu kanak-kanak berumur tiga tahun. – 4 Oktober, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen