RMK12 gagal tangani sistem perlindungan sosial, kata ahli Parlimen Klang


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata sistem perlindungan sosial Malaysia tidak mencukupi dan tidak berkesan semasa wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

SISTEM perlindungan sosial Malaysia tidak mencukupi dan tidak berkesan semasa wabak Covid-19, namun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) gagal menanganinya, kata ahli Parlimen DAP Charles Santiago.

“Terdapat sejumlah kematian, hilang pekerjaan, bunuh diri dan kemiskinan yang mengejutkan dan mangsa wabak tersebut adalah komuniti B40 dan M40 yang lebih rendah serta perniagaan mikro yang status kewangannya jauh lebih buruk berbanding 2019,” kata ahli Parlimen Klang itu dalam satu kenyataan.

Charles berkata rancangan lima tahun ke arah ekonomi Malaysia harus memikirkan semula perlindungan sosial dan menjadikannya sebagai dasar utama.

Melabur dalam perlindungan sosial dapat mewujudkan permintaan domestik dan menghasilkan kesan berganda positif lebih besar terhadap ekonomi, katanya.

Beliau mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mendaftar dan mewujudkan skim insurans untuk pekerja tidak rasmi, merombak Bantuan Sara Hidup (BSH), memperkenalkan skim jaminan pekerjaan dan mengkaji semula gaji minimum.

“Kerajaan perlu meminda undang-undang dan menetapkan Sistem Insurans Pekerjaan untuk pekerja tidak rasmi sebagai cara memberi mereka jaminan pendapatan. Berikan wang tunai RM1,000 bulanan segera kepada isi rumah miskin tegar dan miskin termasuk kumpulan yang hilang pekerjaan semasa wabak di bawah program BSH.

“Kadar pengangguran dapat dikurangkan jika ada skim jaminan pekerjaan di mana ia menyediakan dana kepada majikan, kumpulan profesional, NGO, dan kesatuan sekerja untuk menggaji penganggur. Penerima dana mesti menjalani latihan kemahiran. Dengan cara ini kerajaan memastikan rakyat dapat cari jalan untuk kembali ke pasaran buruh.

“Kerajaan harus mengkaji dan menerapkan sistem upah minimum baharu yang disokong oleh dana terpisah untuk membantu mengurangkan beban PKS yang terjejas akibat wabak itu. Kerajaan harus memperuntukkan dana tahunan sebanyak RM15 bilion selama tempoh peralihan ke arah usaha tersebut,” katanya.

Sekiranya Malaysia gagal memperbaiki sistem perlindungan sosialnya, sukar untuk mengatasi kemiskinan dan ketidaksamaan, tambahnya.

RMK12 antara lain menyasarkan negara berpendapatan tinggi untuk Malaysia dengan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000. Tetapi sasaran ini mendapat kritikan beberapa ahli ekonomi yang mengatakan menyasarkan angka purata hanya sia-sia jika kekayaan tidak diagihkan secara adil dan jaring keselamatan sosial tidak ditingkatkan. – 4 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen