Pemuda PKR calonkan Anwar jadi perdana menteri


Yasmin Ramlan Low Han Shaun

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata rekod Anwar Ibrahim sebagai bekas menteri kewangan pada 1991 hingga 1998 membuktikan kebolehannya menyandang jawatan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Mei, 2017.

SAYAP Pemuda PKR hari ini menamakan Anwar Ibrahim calon perdana menteri jika berjaya membentuk kerajaan seterusnya, meskipun mantan ketua pembangkang itu masih di dalam penjara.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata rekod pemimpin berusia 69 tahun itu sebagai bekas menteri kewangan pada 1991 hingga 1998 membuktikan kebolehannya menyandang jawatan tersebut.

“Justeru, tanpa ragu-ragu, kami ingin mengusulkan kepada parti dan Pakatan Harapan (PH) agar menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kejayaan beliau membina gerakan massa yang luas, ‘big tent politics’ merentas ideologi serta berkomunikasi dengan rakyat tiada tandingan,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan PKR mahukan presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri, sementara DAP pula memilih Wan Azizah.

Komponen PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula inginkan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad atau presiden Muhyiddin Yassin.

“Rekod beliau sebagai menteri kewangan terakhir membawa belanjawan lebihan juga terbukti serta sosok tubuhnya di dalam membawa kebangkitan Islam sederhana serta menyatukan budaya serantau dalam gagasan Gelombang Kebangkitan Asia menjadikannya tokoh antarabangsa yang dihormati dalam luar negara,” katanya kita dasar ucapan di Kongres Nasional AMK di IDCC Shah Alam hari ini.

Nik Nazmi turut menyamakan pemimpin pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan meliwat itu dengan kisah kejayaan presiden baharu Perancis Emmanuel Jean-Michel Frederic Macron yang berusia 39 tahun.

“Partinya baru, orangnya muda, lawannya jauh lebih berpengalaman dan dijangka akan menang. Namun, sebagaimana sering diingatkan Anwar, ‘never underestimate the wisdom of the people’. Jangan remehkan kebijaksanaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata majoriti pengundi pada PRU13 mungkin kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan pelbagai perkembangan dalam kalangan parti pembangkang.

“Ia tragedi besar jika kita mengambil kira potensi peralihan kuasa buat kali pertama sejak merdeka.

“Mentaliti pembangkang yang masih tebal menyebabkan kita gagal mengurus perbezaan secara matang, sekali gus memberikan tanggapan umum seolah-olah kita tidak bersedia untuk mentadbir,” katanya. – 20 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen