Tiada maklumat walau 10 kali hubungi polis, kata pengerusi PKR Perlis


Noel Achariam

Pengerusi PKR Perlis, Faisol Abdul Rahman merupakan saksi ketiga memberi keterangan dalam siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan aktivis, Amri Che Mat, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Januari, 2018.

PENGERUSI PKR Perlis, Faisol Abdul Rahman mengakui menghubungi polis 10 kali berhubung kehilangan Amri Che Mat tetapi gagal mendapatkan sebarang maklumat, ketika menjawab soalan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semasa siasatan awam terhadap aktivis yang hilang itu hari ini.

Faisol, yang merupakan saksi ketiga memberi keterangan dalam siasatan tersebut, berkata selepas Amri hilang pada 2016, dia menghubungi polis, tetapi tidak mendapat banyak maklumat.

“Selepas kejadian, kami menghubungi Inspektor Khor, yang bertanggungjawab terhadap kes itu.

“Saya menelefon, (kita) berjumpa di stesen dan (saya) minum kopi dengan mereka. Tetapi, mereka masih tidak mempunyai banyak maklumat.

“Sejak itu, saya menghubungi polis kira-kira 10 kali mengenai kes itu,” katanya di pejabat Suhakam.

Peguam keluarga Amri bertanya Faisol apa yang berlaku sebelum dia ke Bukit Aman pada Mac tahun lepas.

Faisol berkata beliau menerima mesej WhatsApp daripada rakannya, Anwar, yang mengatakan kes itu sudah dipindahkan dari Perlis ke Bukit Aman.

“Anwar mengambil rakam layar perbualan antara dia dan Inspektor Khor.

“Anwar bertanya tentang status Amri, dan Khor menjawab dia diminta menghentikan siasatan dan menyerahkannya kepada Bukit Aman.”

Faisol memberitahu panel siasatan yang dia dan isteri Amri, Norhayati Ariffin, kemudian pergi ke Bukit Aman untuk memeriksa status kes itu.

“Kami diberitahu mereka tidak menerima sebarang fail mengenai kehilangan Amri.”

Panel Suhakam kemudian bertanya Faisol jika dia ada memberi nombor telefon Inspektor Khor kepada Bukit Aman.

Faisol berkata dia memberikan nombor Inspektor Khor kepada seorang pegawai bernama “Pedro”.

“Pegawai itu kemudian pergi dan mula bercakap. Kami tidak dapat mendengar butir perbualannya.

“Sehingga hari ini, tidak ada respons dari Bukit Aman.”

Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.

Lelaki berusia 43 tahun itu memberitahu anaknya yang sulungnya, dia akan keluar malam itu.

Dalam laporan polisnya, Norhayati berkata terdapat kereta dan motosikal tidak dikeenali diletakkan berhampiran rumah mereka pada hari suaminya hilang.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh menjadi panel siasatan, yang bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Pastor Raymond Koh dan Amri, serta kehilangan Joshua dan Ruth Hilmy pada 2016, adalah kes kehilangan dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan. – 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen