KEDAI tatu di Lembah Klang tidak sabar untuk menyambung semula perniagaan mereka selepas setahun hilang sumber pendapatan, berikutan Selangor dan Kuala Lumpur beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara pada 1 Oktober.
Artis tatu merupakan antara kerjaya yang dilupakan ketika pandemik, dengan penutupan sektor ekonomi lain seperti pelancongan menyebabkan perniagaan itu suram.
Pemilik kedai dan artis tatu memberitahu The Malaysian Insight mereka akan dibenar meneruskan perniagaan pada Fasa 3, dan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pelitup muka, sanitasi dan yang paling penting hanya memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang lengkap vaksinasi.
“Kami kerugian ribuan ringgit kerana perniagaan ditutup sepanjang pandemik. Kebanyakan daripada kami terpaksa melakukan pekerjaan sementara lain untuk meneruskan hidup,” kata Prince yang merupakan pemilik kedai tatu di Petaling Jaya. Beliau hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya.
Prince berkata hampir setahun beliau hilang sumber pendapatan dan bernasib baik kerana mempunyai pelanggan dan rakan yang memberi sokongan.
“Kesemua tempahan sama ada ditangguhkan atau dibatalkan. Nasib baik saya mempunyai ramai penyokong dari kalangan pelanggan dan bekas pelanggan. Saya masih boleh bertahan daripada menutup terus perniagaan.
“Kami akan membuka semula dan saya harap kali ini tiada lagi penutupan,” kata Prince.
Sebuah lagi kedai tatu di Cheras yang merupakan tempat artis Lala bekerja, sudah memaklumkan pelanggannya bahawa tempahan sudah diterima.
“Semua daripada kalangan kami dalam perniagaan ini tiada pekerjaan ketika pandemik, Ada di antara kami yang terpaksa gulung tikar.
“Semua tempahan saya terpaksa ditangguhkan dan kini saya cuba untuk mulakan semula,” kata Lala.
Beliau dan Prince berkata mereka akan memastikan hanya pelanggan yang menerima vaksin sepenuhnya akan diberikan perkhidmatan. – 4 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen