UMNO Sabah akan mempertahan semua kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, meskipun terpaksa berdepan Bersatu pada PRU15 akan datang selaras dengan keputusan pimpinan tertinggi Umno Pusat.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin, berkata Umno negeri tiada pilihan selain menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti untuk terus mempertahan kerusi dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding (pada PRU15), maka Umno tiada pilihan. Umno kena mempertahan kerusi ditandingi dan seterusnya memperkasa parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jumaat, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mempertahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenanginya pada PRU14.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 2020.
Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, kemungkinan pertembungan parti itu dengan Umno dalam PRU15 adalah antara realiti politik yang perlu diterima dan Bersatu sedia menghadapi sebarang kebarangkalian terjadi pada masa akan datang, dengan cara serta strategi tersendiri.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, menyambut baik kenyataan Muhyiddin itu dan berkata, Umno Sabah juga bersedia untuk berdepan dengan mana-mana parti termasuk Bersatu, dalam pilihan raya umum itu.
“Kita (Umno) mengharungi pelbagai dugaan besar. Kita pernah menang dan pernah kalah. Jadi ini bukan satu rintangan besar untuk kita berdepan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya sambil meminta jentera Umno di semua peringkat bersedia menghadapi PRU15.
Pada PRU14 tahun 2018, Umno memenangi tujuh kerusi Parlimen di Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis dan Kinabatangan.
Lima ahli Parlimen Umno itu kemudian bertindak menyertai Bersatu iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).
Ketika ini Umno hanya menguasai dua daripada 25 kerusi Parlimen iaitu Kinabatangan yang diwakili Bung Moktar dan Kimanis yang disandang Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II. – Bernama, 3 Oktober, 2021.
Komen