Angka kes ICU, harian dan kluster Covid-19 menurun


Ravin Palanisamy

Jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun kepada 835 kes hari ini berbanding 888 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober 2021.

KEMPEN Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membuahkan hasil apabila petunjuk utama wabak itu terus menurun dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun kepada 835 kes hari ini berbanding 888 semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah pesakit yang dimasukkan ke ICU, 815 daripadanya disahkan menghidap coronavirus manakala 20 yang lain masih dalam siasatan.

Noor Hisham juga berkata terdapat 535 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Daripada jumlah itu, 355 disahkan kes Covid-19 manakala 180 kes sedang disiasat.

Sementara itu, Noor Hisham berkata jumlah kes pulih terus mengatasi jangkitan baru sebanyak hampir 5,000 orang apabila 14,454 pesakit sembuh daripada wabak tersebut berbanding 9,066 kes baru.

Hanya 159 kes atau 1.8% jangkitan baru berada di bawah kategori 3, 4 dan 5.

Sebanyak 8,907 pesakit atau 98,2% kes diklasifikasikan dalam kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

Ini tentu akan mengurangkan jumlah kes aktif di negara ini. Bagaimanapun, angka itu hanya akan dikemas kini pada tengah malam ketika kementerian mengeluarkan data kematian Covid-19.

Selain itu, setelah beberapa bulan melaporkan kluster Covid-19 dalam dua angka, kementerian hanya mengesan enam kelompok baru pada tengah hari ini.

Kesemua kluster merangkumi 140 kes secara kumulatif.

Daripada kluster baharu Covid-19, tiga melibatkan tempat kerja (88 kes) dan tiga dikesan di kalangan komuniti (52 kes). – 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen