6 persatuan perkapalan mahu pengerusi MDEC disingkirkan


Aminah Farid

Persatuan perkapalan mengkritik Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Rais Hussin atas serangan peribadinya terhadap Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kerana dianggap tidak sesuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober 2021.

ENAM persatuan perkapalan menyelar tindakan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Rais Hussin yang menggelar Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sebagai “IQ kubis” berhubung isu kabotaj.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, persatuan terbabit mengkritik Rais atas serangan peribadinya terhadap Wee yang dianggap tidak sesuai.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Masa), Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal), Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah (SSSA), Persatuan Pemilik OSV Malaysia (Mosva), Persatuan Industri Laut Malaysia (AMIM) dan Persatuan Industri Laut Sarawak (Samin).

Pada Khamis, Rais menyebut Wee sebagai “menteri dengan IQ kubis” di profil Twitternya.

Rais yang pernah mengkritik keputusan kerajaan bagi menarik balik pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang melakukan penyelenggaraan kabel bawah laut turut menyatakan bahawa Wee tidak seharusnya membincangkan masalah tersebut.

Pengerusi Masa, Abdul Hak Md Amin berkata, jika apa yang dinyatakan Rais itu adalah tepat, maka ia adalah aib bukan saja untuk industry tetapi juga rakan beliau dan harus disingkirkan.

“Jika apa yang diperkatakan beliau itu benar maka Rais yang memegang jawatan tertinggi dalam GLC terkemuka, cukup memalukan bukan saja kepada industri tetapi juga rakannya kerana mengungkapkannya dan harus disingkirkan segera.

“Sebagai seorang profesional, kami mungkin boleh berbeza pendapat, tetapi kami tidak melakukan serangan peribadi.

“YB Menteri kami adalah penjaga dasar kabotaj dan berpengalaman dengan matlamat dan keperluan dasar di negara ini,” katanya.

Abdul Hak berkata, Malaysia merupakan satu daripada 100 negara di dunia yang mengamalkan dasar ini.

Katanya, Masa berdiri teguh di belakang menteri dalam tindakan tegasnya untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dilindungi dengan menguatkuasakan dasar kabotaj dengan ketat. – 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen