Aduan pelanggaran SOP kini boleh dibuat di MySejahtera


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ciri untuk melaporkan pelanggaran SOP sudah ada, namun beliau meminta pembangun aplikasi mengubahnya sedikit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober 2021.

RAKYAT Malaysia kini dapat melaporkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam tweetnya berkata ciri untuk melaporkan pelanggaran tersebut sudah ada, namun beliau meminta pembangun aplikasi mengubahnya sedikit.

“Saya telah meminta MySejahtera untuk mengemas kini sedikit tetapi ciri tersebut sudah ada,” katanya di Twitter dengan berkongsi klip pendek mengenai proses melaporkan pelanggaran SOP.

Khairy berkata demikian ketika mengulas pertanyaan seorang pengguna Twitter, @omarfaayiz sama ada terdapat platform lain untuk melaporkan pelanggaran SOP.

Video yang dikongsi Khairy menunjukkan butang baru “Aduan” ditambahkan ke dalam aplikasi. Selepas ditekan, pengguna akan dibawa ke halaman lain di mana mereka dapat memilih jenis pelanggaran yang ingin mereka laporkan.

Terdapat empat jenis pelanggaran yang disenaraikan sebagai pilihan pengguna iaitu: Tidak memakai pelitup muka atau penjarakan sosial; Tidak mengambil suhu badan atau rekod pelawat; Tidak mematuhi peraturan kuarantin; dan Isu-isu lain.

Pengguna kemudian diminta untuk menandai lokasi tempat pelanggaran berlaku, sebelum melangkah ke halaman terakhir di mana mereka perlu memuat naik foto sebagai bukti.

Membalas tweet Khairy, ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai memanfaatkan sepenuhnya ciri baru tersebut dan melaporkan jika mereka menyaksikan ada orang yang melanggar atau ingkar SOP. – 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen