Selepas 82 hari, kes harian Covid-19 Malaysia kurang 10,000


Ravin Palanisamy

Kes harian Covid-19 Malaysia turun bawah 10,000 hari ini, selepas 82 hari merekodkan belasan dan puluhan ribu kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.

SELEPAS hampir tiga bulan Malaysia merekodkan belasan dan puluhan ribu kes harian Covid-19, hari ini negara melaporkan 9,066 kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes harian bawah 10,000 adalah 82 hari lalu, pada 12 Julai dengan 8,574 kes.

Hanya dua negeri hari ini melaporkan ribuan kes baharu iaitu Sarawak (1,418) dan Selangor dengan 1,000 kes baharu.

Johor pula merekodkan 981 kes hari ini.

Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur (201 kes baharu) dan Putrajaya (24 kes baharu) membentuk 1,225 kes atau 13.51% daripada jumlah keseluruhan kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu hari ini adalah Terenggany (827), Kelantan (796), Sabah (767), Kedah (670), Perak (669), Pahang (630), Pulau Pinang (620), Melaka (206), Negeri Sembilan (191) dan Perlis (66).

Labuan yang kini berada di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pula tidak melaporkan sebarang kes baharu hari ini.

Selangor kekal menjadi negeri dengan kes terbanyak iaitu 681,616 sejak pandemik bermula tahun lepas, diikuti oleh Sarawak (215,576) dan Sabah (200,396).

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan yang 87.2% atau 20.41 juta populasi dewasa Malaysia sudah lengkap divaksin.

Menurut laman web Kementerian Kesihatan, CovidNow, 211,517 lagi dos vaksin disuntik semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP).

Daripada jumlah itu, 89,695 adalah dos pertama dan baki 121,822 adalah dos kedua.

Secara keseluruhannya, 44,145,505 dos vaksin telah disuntik di bawah NIP sejak ia bermula pada 24 Februari lepas. – 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen