Boleh ke luar negara menjelang Disember, kata PM


Perjalanan ke luar negara dijangka dibenarkan semula pada Disember atau lebih awal, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA akan melonggarkan sekatan pergerakan ke luar negara menjelang Disember apabila lebih 90 penduduk dewasa Malaysia sudah lengkap disuntik vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Ya, Disember. Mungkin awal lagi. Kita akan buka rentas negeri. Rentas negara pun boleh dibuka apabila mencapai 90 peratus sudah divaksin,” katanya, seperti dipetik Mingguan Malaysia.

Pergerakan ke luar negara juga nanti tidak lagi mengenakan syarat MyTravel Pass apabila kerajaan memberikan kelonggaran itu, kata perdana menteri.

“Kita tidak perlu lagi daftar MyTravel Pass untuk keluar negara tetapi kuarantin masih sama,” katanya.

MyTravel Pass adalah kebenaran khas ke luar negara yang mula diperkenalkan oleh kerajaan sejak pandemik Covid-19, yang memerlukan sesiapa yang hendak ke luar negara membuat permohonan kepada pihak imigresen.

Perdana menteri bercakap kepada sekumpulan pengarang kanan media di Bangunan Parlimen, Khamis lalu.

Sehingga tengah malam tadi, 87.2% penduduk dewasa Malaysia sudah lengkap menerima vaksin. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau meminta Menteri Besar Johor Hasni Mohammad untuk berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan antara dua negara, terutama bagi rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Malaysia dan Singapura sebelum ini setuju melaksanakan rentas sempadan laluan hijau timbal balik pada Ogos 2020. Singapura menangguhkannya sejak 1 Februari diikuti Malaysia pada 13 Mei. – Bernama, 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen