JUMLAH kematian yang dilaporkan menurun untuk hari keenam berturut-turut apabila Malaysia mencatatkan 109 kematian berkaitan Covid-19 setakat tengah malam semalam.
Ini merupakan angka kematian terendah di negara ini yang dilaporkan sejak 25 Julai di mana 92 kematian dicatatkan.
Angka terbaru menjadikan angka kematian sejak wabak bermula sebanyak 26,565 kes.
Menurut data dari GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), 33 daripada 109 kematian diklasifikasikan sebagai meninggal dunia di luar hospital. Jumlah kematian yang dicatatkan dalam kategori ini kini berjumlah 5,340 kes.
Sementara itu, hanya dua kematian yang dilaporkan berlaku semalam sementara 107 yang lain adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak pernah dilaporkan.
Angka kematian harian adalah jumlah keseluruhan kematian yang berlaku pada hari kejadian ditambah dengan laporan kematian atau kematian yang baru sahaja disahkan oleh KKM kerana Covid-19 setelah siasatan selesai.
Data juga menunjukkan seorang mangsa yang dijangkiti wabak berkenaan sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Pulau Pinang berdepan lonjakan kematian apabila 18 kes dilaporkan di negeri ini semalam berbanding enam hari sebelumnya. Empat dari 18 kematian adalah kes di luar hospital.
Kematian di Selangor dan Sabah menurun dengan masing-masing melaporkan 12 kes.
Tujuh dan empat kes kematian di luar hospital dilaporkan di Selangor dan Sabah.

Negeri lain yang melaporkan kematian adalah di Johor dengan 11, Perak (10), Sarawak dan Terengganu (masing-masing 9), Kedah (8), Kelantan (5), Pahang dan Kuala Lumpur (masing-masing 4), Perlis (3), Melaka dan Negeri Sembilan (masing-masing 1).
Tidak ada kematian berkaitan koronavirus yang dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.
Selain kematian di luar hospital dilaporkan di Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, Sarawak mempunyai lima, Johor (4), Kelantan (3), Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu (masing-masing 1).
Menurut laman web CovidNow KKM, purata kematian setiap 100,000 penduduk adalah 4.7. Pulau Pinang mempunyai purata tertinggi dengan 12.3 kematian setiap 100,000 penduduk.
Purata tujuh hari kematian adalah 75 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 terus menurun kepada 155,823 selepas Malaysia mencatatkan 15,396 kes pulih berbanding 10,915 kes baharu.
Pada pecahan kes aktif, 128,350 pesakit atau 82.4% dikuarantin di rumah, 18.088 (11.6%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 8,495 (5.5%) di hospital.
Daripada mereka yang dimasukkan ke hospital, 890 berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 485 daripada memerlukan alat bantuan pernafasan. – 3 Oktober, 2021.
Komen