Pemegang pas kerja, pas pelajar perlu lengkap vaksin masuk ke Singapura


Singapura hanya membenarkan kemasukan pekerja, pelajar dengan lengkap dua dos vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.

SINGAPURA bakal mewajibkan semua pemegang pas kerja dan pas pelajar lengkap vaksin Covid-19 sebelum tiba di republik itu, bermula 1 November 2021, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF).

Pasukan Petugas mengenai Covid-19 itu memaklumkan langkah berkenaan bagi membolehkan pekerja dan pelajar memasuki sempadan Singapura dengan selamat sambil meminimumkan risiko kesihatan awam.

Pengarah perkhidmatan perubatan Singapura Kenneth Mak, berkata pada masa ini Singapura mengiktiraf individu yang lengkap divaksin dengan vaksin yang tersenarai dalam senarai penggunaan kecemasan (EUL) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain itu, ia termasuk vaksin yang kami iktiraf di Singapura,” katanya pada sidang media maya MTF hari ini.

Keperluan vaksinasi merangkumi tanggungan pemegang pas kerja dan pemegang pas kerja “in-principle approval” dengan sejarah perjalanan ke negara atau wilayah berisiko di bawah Kategori I dan II.

Bagaimanapun, langkah itu tidak tertakluk kepada mereka yang mendaftar di bawah Periodic Commuting Arrangement (PCA).

Ia hanya membabitkan mereka yang ingin memasuki Singapura melalui work pass holder general lane dan student’ pass holder lane.

Menurut MTF republik itu juga akan membuka semula permohonan kelulusan kemasukan untuk pembantu rumah migran (MDW), pemegang S Pass dan permit izin kerja dari sektor pembinaan, marin dan proses (CMP), dari negara atau wilayah berisiko tinggi - Kategori III dan IV - untuk memasuki Singapura.

Malaysia satu daripada negara di bawah Kategori IV.

Namun, ia berdasarkan syarat mereka lengkap divaksin sebelum ketibaan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Kumpulan ini boleh mula mengemukakan permohon mulai 15 Oktober 2021. – Bernama, 2 Oktober, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen