Bayaran Covid-19 lewat kerana permohonan meningkat, bukan tiada dana, kata pegawai


Aminah Farid

Kelewatan proses kelulusan Bantuan Khas Covid-19 yang dikelolakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) disebabkan oleh peningkatan permohonan mendapatkan bantuan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.

PENINGKATAN permohonan untuk mendapatkan Bantuan Khas Covid-19 yang dikelolakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyebabkan kelewatan proses kelulusan, kata seorang pegawai agensi itu.

Kelewatan bayaran itu bukannya disebabkan Nadma ketiadaan wang, menurut pegawai itu yang enggan dinamakan kerana beliau tidak dibenarkan mengeluar kenyataan rasmi.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight agensi itu dihujani dengan permohonan baharu ketika jangkitan dan kematian Covid-19 meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan.

Selain itu, katanya ia mengambil masa kerana pemohon tidak memberikan dokumen lengkap apabila memohon bantuan itu.

Beliau berkata, proses kelulusan turut bergantung kepada melengkapkan dokumen dan pengesahan data yang perlu selaras dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata demikian menjawab rungutan baru-baru ini Nadma sama ada terlalu lembap atau gagal menyalurkan bayaran kepada pemohon, terutama keluarga mangsa yang terjejas dengan Covid-19.

Bagi rungutan itu, terutama di media sosial, mengenai tiadanya komunikasi antara pemohon dengan agensi itu, pegawai itu berkata, pemohon sepatutnya memeriksa laman web bagi sebarang kemas kini kelulusan permohonan bukannya menelefon atau menghantar e-mel kepada talian bantuan agensi itu.

Beliau berkata, agensi itu mempunyai dana mencukupi untuk memenuhi permohonan semasa.

“Umum patut diingatkan Tabung Covid-19 bukannya dana bantuan mandatori dan bukannya 100% wang datang dari kerajaan,” katanya.

“Bantuan ini bukannya hanya dari dana kerajaan semata-mata kerana ia Tabung Covid-19 Nadma yang mana penyumbangnya adalah kerajaan, pegawai, potongan gaji menteri, badan korporat dan sumbangan orang awam,” katanya.

Pada Rabu, pengguna media sosial Sham Hardy di Twitter merungut sudah dua bulan sejak adiknya meninggal kerana Covid-19 dan dia belum menerima bantuan khas Nadma yang sudah dipohon.

Sham merungut dia menelefon dan menghantar e-mel kepada Nadma namun tidak mendapat sebarang respons daripada agensi itu.

Dalam tweetnya, dia turut berkata ada khabar angin Nadma sudah tidak mempunyai dana dan mempersoalkan kenapa kerajaan mempunyai wang untuk membaik pulih kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Apabila dihubungi The Malaysian Insight, Sham berkata, Nadma sudah meluluskan permohonannya, menyatakan ia mungkin disebabkan tweetnya menjadi tular.

Sejak bantuan khas itu dibentuk, Nadma sudah menyalurkan keseluruhan RM22.7 juta kepada 17,222 pemohon manakala sejumlah 4,021 waris menerima RM20.1 juta bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19.

Bantuan khas itu terdiri daripada dua; Bantuan Khas Covid-19 bagi yang kehilangan pendapatan selepas melalui proses kuarantin tidak kira sama ada mereka positif atau tidak.

Kedua adalah Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, bagi waris mangsa Covid-19.

Pegawai itu turut berkata, agensi itu menerima 52,032 permohonan bagi Bantuan Khas Covid-19 yang mana 12,913 daripadanya tidak layak manakala selebihnya masih dalam proses kelulusan. Bagi bantuan khas kedua, 8,309 permohonan diterima dan 12 daripadanya ditolak.

Beliau berkata, permohonan boleh dilakukan menerusi pos, secara dalam talian atau e-mel dan akan diproses dalam tempoh 30 hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima Nadma hinggalah ke tarikh pembayaran diluluskan.

The Malaysian Insight turut menghantar e-mel kepada Nadma untuk mendapatkan jawapan rasmi namun tidak mendapat sebarang maklum balas. – 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen