SERAMAI 177,220 warga emas atau 7.9% dijangkiti Covid-19 setakat 30 September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan warga emas dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.
Katanya selain itu, sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini, sebanyak 14,248 atau 56.6% kes kematian akibat Covid-19 membabitkan warga emas dilaporkan.
“Bagaimanapun trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan (Pick) 2021.
“Sehingga 29 September, seramai 3,148,438 (87.4%) warga emas lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4%) warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham juga berkata, setakat 26 September, seramai 19,641 (66.8%) penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas menerima dos lengkap dan pemberian vaksin akan diteruskan bagi memastikan golongan berisiko tinggi itu terlindung daripada jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, fasa kedua Pick untuk warga emas dan rentan, yang bermula April lalu, mula menunjukkan keberkesanan apabila statistik Hospital Sungai Buloh menyaksikan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori 4 serta 5 berbanding golongan dewasa berumur lingkungan 20 hingga 59 tahun.
Katanya, selari dengan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa, Kementerian Kesihatan komited dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negara khususnya untuk memberi sokongan kepada golongan itu.
Dr Noor Hisham berkata, langkah itu penting sebagai persediaan mendepani pertambahan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas dan PBB mengunjurkan Malaysia berdepan penuaan penduduk sekitar tahun 2030 apabila peratusan golongan itu mencecah 15% daripada jumlah keseluruhan populasi. – Bernama, 2 Oktober, 2021.
Komen