KKM benarkan ibu, bapa atau penjaga iringi remaja bagi vaksinasi


Ravin Palanisamy

Insiden remaja disuntik dengan picagari kosong berlaku di pusat pemberian vaksin Universiti Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.

BERMULA esok, seorang ibu, bapa atau penjaga dibenarkan untuk mengiringi remaja bagi vaksinasi Covid-19 mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali.

Ia susulan satu kes yang mana picagari kosong disuntik ke atas seorang remaja berusia 12 tahun di pusat pemberian vaksin Universiti Malaya. Petugas kesihatan bertanggungjawab itu sudah dilepaskan daripada tugasan vaksinasi, kata Noor Azmi.

Ibu, bapa atau penjaga boleh mengikuti remaja ke tempat pemeriksaan suhu dan simptom, termasuk stesen lain seperti pendaftaran, konsultasi dan akhirnya suntikan vaksin dilakukan.

“Selepas vaksin disuntik, ibu, bapa atau penjaga perlu menunggu di luar ketika anak mereka dipantau selama 15 hingga 30 minit.

“Ini bagi memastikan cukup tempat duduk (di stesen pemantauan) bagi yang divaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azmi mengulangi pendirian awal kementerian itu bahawa rakaman video vaksinasi dibenarkan.

Beliau turut mengingatkan petugas kesihatan supaya bertanggungjawab dan berhati-hati. Beliau menggesa mereka terus mengikuti prosedur operasi standard termasuk menunjukkan kepada penerima suntikan picagari yang dipenuhi vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Dalam insiden picagari kosong itu, Dr Noor Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, petugas kesihatan yang menjalankan suntikan vaksin itu dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Syarikat itu sudah melepaskan petugas itu daripada tugasan di PPVUM.

Petugas itu menyedari kesilapan dan memberitahu pegawai perubatan bertugas di pusat itu. Selepas berbincang dengan ibu bapa remaja itu, satu lagi suntikan dengan jumlah betul vaksin dilakukan. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen