Kes Covid-19 di ICU menurun kepada 888


Daripada 888 pesakit yang dirawat di ICU, 832 disahkan dijangkiti Covid-19 sementara 56 lagi masih dalam siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober 2021.

BEBERAPA hospital terus melaporkan pengurangan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 888 pesakit dirawat setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, terdapat 904 pesakit di ICU.

Daripada jumlah itu, 832 disahkan dijangkiti Covid-19 sementara 56 lagi masih dalam siasatan.

Noor Hisham berkata terdapat juga pengurangan terhadap penggunaan alat bantuan pernafasan dengan 484 pesakit memerlukannya hari ini berbanding 492 orang semalam.

Katanya, 354 daripadanya disahkan kes Covid-19 dan selebihnya 130 kes yang disyaki dan masih dalam sisatan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata jumlah mereka yang sembuh daripada virus terus mengatasi jangkitan baru ketika Malaysia melaporkan 15,396 kes pulih berbanding 10,915 kes baru setakat tengah hari ini.

Sebanyak 10,776 atau 98,7% daripada 10,915 kes yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan begejala ringan.

Hanya 139 pesakit atau 1.3% kes berada dalam kategori yang lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Selain itu, Noor Hisham berkata 10 kluster Covid-19 baru dikesan di negara ini hari ini, yang menyumbang kepada 333 kes.

Katanya, empat kluster dikaitkan dengan tempat kerja (119 kes), empat adalah penularan komuniti (140 kes) dan dua dikesan pada golongan berisiko tinggi (74 kes).

Johor dan Kelantan mencatat jumlah kluster terbanyak dengan masing-masing tiga. Ketiga-tiga kluster di Johor dihubungkan dengan tempat kerja sementara dua kluster di Kelantan adalah penularan komuniti dan satu tempat kerja.

Terengganu, Sarawak, Perak dan Pahang masing-masing melaporkan satu kluster.

Jumlah kluster hari ini menjadikan jumlah kluster yang dilaporkan di negara ini kepada 5,501, di mana 1,044 masih aktif dan 4,457 sudah berakhir. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen