PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau meminta Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke negara jiran itu kerana bekerja.
“Yang penting (berkenaan) perjalanan harian kerana melibatkan beratus ribu sedangkan Singapura masih tidak buka (sempadan untuk tujuan itu). Pekerja (rakyat Malaysia) di sana ada yang duduk tidak balik (ke Malaysia) sebab perjalanan harian duduk di Johor Bahru tidak dibenarkan masuk sudah setahun lebih,” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata sebelum ini, Singapura tidak bersedia menerima kemasukan dari Malaysia memandangkan kes di Malaysia yang tinggi termasuk membatalkan skim laluan hijau timbal balik (RGL) Malaysia-Singapura.
“Tetapi sekarang kita pun agak bimbang dengan kes di Singapura yang meningkat sampai 2,000 kes sehari. Tetapi kita masih akan teruskan perbincangan dengan Singapura (untuk pembukaan sempadan),” katanya.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim RGL dan peraturan ulang alik berkala (PCA) bermula 17 Ogos tahun lalu tetapi kemudian Singapura menangguhkan RGL sejak 1 Februari tahun ini manakala Malaysia mengambil tindakan serupa bermula 13 Mei lalu.
Mengenai perjalanan rentas negeri apabila kadar vaksinasi negara melepasi kadar 90%, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dicapai tidak lama lagi dan beliau akan mengumumkannya bersama dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
Hingga 11.59 malam tadi, seramai 20,317,843 individu atau 86.8% daripada populasi dewasa di negara ini melengkapkan suntikan vaksin Covid-19. – Bernama, 2 Oktober, 2021.
Komen