MALAYSIA melaporkan kes harian Covid-19 dalam lingkungan 10,000 untuk kali kedua dalam tempoh seminggu dengan 10,915 kes baru direkodkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Isnin lalu, Malaysia mencatatkan10,959 kes baharu. Bagaimanapun, jumlah jangkitan hari ini adalah terendah sejak 18 Julai ketika 8,574 kes dilaporkan.
Sarawak terus mendahului carta kes harian bagi sembilan hari berturut-turut dengan 2,121 kes baharu dilaporkan.
Malah, Sarawak turut menjadi satu-satunya negeri yang merekodkan kes harian melebihi 2,000 jangkitan.
Ini diikuti Selangor dengan 1,386 jangkitan baru, sementara Kelantan di tempat ketiga dengan 1,288 kes.
Satu lagi negeri selain Sarawak, Selangor dan Kelantan yang turut melaporkan kes empat angka adalah Johor dengan 1,124 jangkitan.
Sementara itu, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur (171) dan Putrajaya (26), melaporkan 1,583 kes atau 14.5% daripada keseluruhan kes hari ini.
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baru adalah Perak dengan 862 kes, Terengganu (818), Sabah (784), Pulau Pinang (768), Kedah (574), Pahang (504), Melaka (216), Negeri Sembilan (211), Perlis (58) dan Labuan (empat).
Secara keseluruhan Selangor mendahului jumlah kes Covid-19 di negara ini dengan 680,616 kes diikuti Sarawak (214,518) dan Sabah (199,629).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata sekitar 20.31 juta atau 86.8% populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkap dos vaksin.
Semalam, sejumlah 237.245 dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 103,021 adalah suntikan pertama dan 134,224 suntikan kedua.
Sebanyak 43,933,988 dos vaksin diberikan sejak program itu bermula pada 24 Februari. – 2 Oktober, 2021.
Komen