Hadi bakal dicabar anak saudara sendiri di Marang


Zulkifli Sulong

KETUA Amanah Rawang Miqdad Zakaria sedia berdepan dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang juga bapa saudaranya di Marang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kalau bertembung tu bertembunglah. Nak buat macam mana. Pakatan Harapan (PH), PAS dan Barisan Nasional (BN) tiga blok yang berasingan,” kata Miqdad kepada The Malaysian Insight.

Miqdad mengulas laporan Sinar Harian kononnya beliau dicalonkan Amanah untuk mencabar Hadi di kerusi Parlimen Marang.

Pensyarah UTM Dr Mazlan Ali meramalkan pertembungan sengit tiga penjuru di Marang.

Beliau menjangkakan BN akan menang dalam pertembungan kali ini.

Hadi menang Parlimen Marang dalam beberapa pilihan raya yang lepas namun tewas tipis 163 undi dalam PRU 2004 di tangan Abdul Rahman Bakar.

Miqdad adalah anak saudara kepada isteri pertama Hadi.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Bahrin Shah berkata, pihaknya telah mengenal pasti calonnya di Marang tetapi hanya akan diumumkan selepas Parlimen dibubarkan.

Selain Marang, Amanah akan bertanding di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dalam pembahagian kerusi Parlimen PH sebelum ini.

Melalui posting di Facebook, Miqdad menyuarakan keyakinan PH akan menumbangkan Hadi di Marang pada PRU14.

“MP paling miskin dalam sejarah di Malaysia kerana semua gaji dan elaunnya hanya untuk rakyat.

“Tunggu, rakyat akan lahirkan di PRU14, InsyaAllah, dalam sejarah MP dari PH Marang yang pertama,” tulisnya. – 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen