AMERIKA Syarikat semalam mengumumkan akan menghantar lebih lapan juta dos vaksin Covid-19 ke Bangladesh dan Filipina dalam usaha terbaru kerjasama dunia mengekang pandemik.
Lima penghantaran berjumlah 5,575,050 dos akan dihantar ke Filipina menjelang minggu depan, kata seorang pegawai White House kepada AFP yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti.
2,508,480 dos lagi akan tiba di Bangladesh awal minggu depan, kata pegawai itu lagi.
Vaksin Pfizer itu didermakan menerusi program Covax Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).
“Pentadbiran memahami yang menamatkan pandemik memerlukan penghapusannya di seluruh dunia,” kata pegawai berkata derma AS itu adalah “pembelian dan pendermaan vaksin terbesar dilakukan oleh sebuah negara”.
Bangladesh yang terjejas teruk sudah menerima jutaan vaksin dari AS termasuk tambahan 2.5 juta dos yang dihantar minggu lepas.
Menurut data AFP, hanya 10% populasi Bangladesh sudah divaksin penuh.
Negara papa dengan jumlah penduduk 170 juta orang itu yang berjiran dengan India melaksanakan sekatan pergerakan antara terlama di dunia dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Filipina pula merekodkan lebih 2.5 juta kes termasuk lebih 38,000 kematian. Tetapi hanya suku penduduk negara itu sudah divaksin penuh disebabkan kelewatan program imunisasi dan bekalan vaksin terhad.
Pegawai memberi amaran yang berpuluh tahun diperlukan bagi pemulihan ekonomi daripda kesan pandemik, yang sudah menyebabkan jutaan orang hilang pekerjaan.
Hampir 70% sektor ekonomi termasuk 23.3 juta pekerja masih diletakkan dalam sekatan “kuarantin diperhebat”, kata Setiausaha Perancang Ekonomi Karl Kendrick Chua pada Sabtu. – AFP, 2 Oktober, 2021.
Komen