DENGAN lebih banyak sektor ekonomi kembali dibenar beroperasi, menteri bertangggungjawab ke atas prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu memurnikan peraturan yang tidak konsisten dan tidak logik, kata wakil rakyat DAP Ong Kian Ming hari ini.
Beliau membangkitkan beberapa kelemahan SOP untuk pawagam sebagai contoh, menyifatkan beberapa sekatan sebagai merepek dan bercanggah.
“Hampir 40% perolehan pawagam adalah jualan makanan dan minuman di kaunter tetapi SOP Fasa 2, 3 dan 4 semuanya menyatakan yang makanan dan minuman di pawagam hanya boleh dipesan dalam talian ketika menempah tiket wayang.
“Ini tak masuk terutama sekali apabila makan di restoran dibenarkan.
“Susah nak tengok bagaimana beratur beli popcorn dan air mineral dengan penjarakan fizikal yang sewajarnya selama beberapa minit lebih merbahaya daripada makan di restoran dan makan dalam kumpulan tanpa pelitup muka untuk masa lebih lama,” kata ahli Parlimen Bangi itu dalam kenyataan hari ini.
Sektor pawagam di negara ini ditutup bermula Mac 2020 disebabkan sekatan pergerakan dikuatkuasa kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Ia dibenar buka semula pada September 2020 tetapi diarah kembali ditutup pada Januari 2021 apabila gelombang ketiga Covid-19 mula mengganas di Malaysia.
Bermula 9 September lepas, semua pawagam seluruh Malaysia tanpa mengira lokasi fasa negeri dibenarkan beroperasi semula dengan separuh kapasiti hanya untuk individu yang sudah lengkap vaksin.
Menyentuh soal “divaksin penuh”, Ong berkata wujud satu lagi SOP tidak logik apabila remaja bawah 17 tahun dihalang memasuki pawagam.
Remaja yang sudah lengkap divaksin boleh dibenarkan memasuki pawagam memandangkan kerajaan sudah memulakan program vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun, kata Ong lagi.
Program vaksinasi remaja yang bermula 8 September lalu, setakat semalam, menyaksikan 71,000 atau 2.3% remaja seluruh Malaysia sudah lengkap divaksin.
Satu lagi SOP yang tidak dipersetujui Ong adalah sekatan kepada individu yang bukan dari satu isi rumah untuk duduk bersebelahan.
“Duduk bersebelahan dalam pawagam dengan memakai pelitup muka dan tidak berdepan antara satu sama lain lebih selamat berbanding makan di restoran, berdepan dan bercakap tanpa pelitup muka,” kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.
Beliau turut menggesa rakyat untuk memaklumkan SOP sektor lain yang tidak logik supaya beliau boleh membawa perkara itu ke pihak bertanggungjawab.
Beliau juga mendesak Annuar Musa, Hishammuddin Hussein, Tengku Zafrul dan Khairy Jamaluddin dan menteri bertanggungjawab untuk menyemak semula SOP bagi memastikan proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan. – 2 Oktober, 2021.
Komen