KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 121 kematian Covid-19 semalam, menjadikan jumlah korban wabak di negara ini kepada 26,456 orang.
Ini adalah hari kelima berturut-turut jumlah kematian menurun.
Menurut pangkalan data mentah KKM, GitHub, 28 kes adalah kematian dibawa ke hospital (BID), menjadikan jumlah kematian kategori ini sejak meledaknya pandemik di Malaysia adalah 5,307 orang.
Daripada 121 kematian semalam, hanya 2 kematian adalah kes kematian sebenar.
Baki 119 kes lagi adalah kes tertunggak yang belum dilaporkan sebelum ini.
Jumlah kes kematian harian adalah jumlah kematian sebenar yang berlaku pada hari itu dan kes kematian tertunggak yang belum dilaporkan kerana menunggu siasatan pihak berkuasa tentang punca kematian adalah disebabkan Covid-19.
Disebabkan itu, jumlah kematian harian boleh berbeza daripada jumlah kematian sebenar laporan dikeluarkan sementara menunggu siasatan kes tertunggak disiapkan.
Data juga menunjukkan daripada jumlah keseluruhan kematian, satu kes melibatkan individu yang sudah divaksin penuh, dilaporkan berlaku di Johor.
Sarawak melaporkan kes kematian tertinggi semalam dengan 25 orang, lapan daripadanya adalah kes BID.
Johor dan Sabah pula masing-masing merekodkan 17 kematian.
Kematian di Selangor menurun buat hari kedua berturut-turut dengan negeri paling padat penduduk itu hanya melaporkan 15 kematian dengan dua kes adalah BID.
Negeri lain yang melaporkan kematian Covid-19 adalah Kelantan (15), Perak dan Kuala Lumpur dengan 7 kes setiap satu, Kedah dan Pulau Pinang masing-masing dengan 6 kes, Perlis (3), Terengganu (2) dan Pahang (1).
Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan kematian disebabkan Covid-19 semalam.
Selain lapan kes BID di Sarawak dan dua kes di Selangor, Sabah melaporkan lapan kes BID, Kelantan (5), Kuala Lumpur (3), Pulau Pinang dan Johor masing-masing sat ukes.
Menurut laman web KKM, CovidNow, purata kematian kebangsaan per 100,000 penduduk adalah 5.0.
Pulau Pinang merekodkan purata kematian tertinggi dengan 12.2 kematian per 100,000 orang penduduk.
Purata kematian tujuh hari negara adalah 83 kes.
Kes aktif Covid-19 di Malaysia berkurangan kepada 160,413 kes selepas 15,891 lagi kes dilaporkan pulih berbanding 11,889 kes baharu semalam.
Daripada jumlah kes aktif ini, 132,642 (82.7%) pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 18,216 (11.4%) sedang berada di pusat kuarantin risiko rendah dan 8,655 (5.4%) orang lagi sedang dirawat di hospital.
Daripada jumlah mereka yang dirawat di hospital, 900 orang diletakkan dalam unit rawatan rapi dengan 488 orang lagi dipakaikan alat bantuan pernafasan. – 2 Oktober, 2021.

Komen